firdaushashim@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Sentuhan pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim masih berbisa apabila dia meledak hatrik dalam aksi Liga Super berdepan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, malam tadi.
Jaringan itu menamatkan badi selama 447 hari selepas kali terakhir pemain sayap kelahiran Pulau Pinang itu meledak pada musim lalu ketika berdepan PDRM FC.
Malah, ia juga dilihat sebagai isyarat kebangkitan yang sedang dilakukan Faisal selepas menjadi mangsa simbahan asid pada Mei tahun lalu yang menyaksikan dia terpaksa menjalani pembedahan.
Bagaimanapun semangat tonggak utama skuad Harimau Malaya di saingan Piala Asia 2023 di Qatar itu tidak pernah pudar apabila dia berusaha keras untuk kembali ke prestasi terbaiknya sebelum ini.
Lantas kejayaan meledak hatrik malam ini menandakan Faisal sudah bersedia untuk merebut tempat khususnya dalam skuad kebangsaan yang bakal menghadapi Kelayakan Piala Asia 2027 hujung bulan ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd