Khairul Helmi semasa menjulang Piala FA 2017 bersama Kedah.
SEMANGAT juang tinggi yang ditunjukkan oleh pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di dalam padang mendapat pujian walaupun berdepan masalah kewangan musim ini.
Bekas kapten Kedah, Khairul Helmi Johari, meluahkan rasa bangga terhadap prestasi ditunjukkan skuad Sang Kenari pada aksi Liga Super walaupun tewas tipis 3-2 kepada KL City FC di Alor Setar pada Jumaat.
Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Keon’ menyatakan bahawa para pemain telah memberikan persembahan terbaik dan berharap mereka terus berjuang meskipun berdepan cabaran getir.
“Apa pun keputusan, tak ada siapa yang turun ke padang untuk kalah. Saya bangga tengok semangat yang ditunjukkan oleh barisan pemain, jurulatih dan pegawai pasukan.
“Ketika melalui waktu sukar, penyokong setia tetap ada memberikan sokongan, tak kira sama ada mereka hadir ke stadium atau tidak. Ingatlah mereka yang bagi sokongan kepada pasukan waktu ‘susah’,” katanya.
Bekas pemain pertahanan Kedah itu turut berpesan kepada skuad Sang Kenari agar terus kuat dan bersemangat dalam menghadapi masa susah pada musim ini.
“Saya doakan semoga pasukan terus tabah dan berusaha sebaik mungkin. Ingat, ketika kejayaan tiba nanti, mereka yang tidak pernah tengok tiba-tiba akan ramai yang muncul memberi pujian. Ini perkara biasa,” ujarnya.
Beliau menambah, pesanan bekas pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe iaitu hanya yang kuat sahaja berjaya masih diingatinya hingga hari ini.
KDA FC yang kini di bawah bimbingan Ketua Jurulatih interim, Victor Andrag melalui waktu sukar bagi menyakinkan pemain untuk menjalani latihan dan menghadapi aksi Liga Malaysia akibat masalah kewangan musim ini.
Sang Kenari kini berada tangga ke-10 liga dengan 20 mata selepas 19 perlawanan.
Dengan baki lima perlawanan dalam saingan Liga Super, Victor menegaskan pasukan kejurulatihan akan terus memberikan fokus kepada pemain yang masih mempunyai keinginan untuk berjuang demi Hijau Kuning.
KDA FC akan berdepan Kuching City FC dalam aksi tertunda Liga Super pada 12 Mac ini di Sarawak.