Saya lebih tenang di masjid

Saya lebih tenang di masjid



redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Dalam usia sekarang, rumah sudah jadi nombor dua kerana kebanyakan masa saya di masjid,” kata Paridah Yusof, 66, yang kematian suami akibat sakit jantung pada 1999.

Kini, Paridah yang menetap di sebuah Projek Perumahan Rakyat Rakyat (PPR) dekat Setiawangsa, di sini tinggal sendiri kerana anak tunggalnya duduk berasingan bersama cucunya.

Warga emas itu yang berstatus asnaf berkata, jiwanya lebih tenang meluangkan masa di masjid, berbanding sebelum ini.

“Ada ketikanya kehidupan saya sunyi terutama ketika menyambut Ramadan.

“Tapi sejak beberapa tahun lalu, saya mula ikut kawan ke masjid untuk solat berjemaah atau dengar tazkirah dan ceramah agama… saya lebih tenang,” katanya ketika ditemui Harian Metro ketika Majlis Iftar Ramadan Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) 2025 di Jalan Genting Klang, dekat sini.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

Hadir sama, Yang Dipertua PEKAP Datuk Azman Shah Abdullah.

Seramai 1,500 ahli PEKAP hadir ke majlis berkenaan dan Paridah salah seorang daripada 50 asnaf terpilih menerima sumbangan duit raya RM150 seorang.

Paridah berkata, bantuan itu amat bermakna buatnya yang buat masa ini hanya menerima elaun bulanan RM600 daripada sebuah agensi.

“Saya sudah berusia dan tak boleh bekerja jadi duduk rumah saja.

“Tapi dulu macam-macam pekerjaan saya lakukan untuk sara anak antaranya sebagai operator pengeluaran di kilang.

“Waktu paling sukar adalah ketika nak besarkan anak di sekolah menengah sampai pernah juga meminjam duit kawan demi menampung keperluannya,” katanya.

Sementara itu, Azman Shah berkata, majlis iftar itu adalah acara tahunan yang bertujuan menghimpunkan ahli PEKAP untuk berbuka puasa bersama, selain menyampaikan sumbangan kepada ahli berstatus asnaf yang hadir.

“PEKAP menitikberatkan kebajikan terutama anak Pahang dan buat masa ini ada kira-kira 2,500 ahli berdaftar.

“Bukan hanya asnaf malah kita juga beri sumbangan kepada ahli menunaikan haji, berkahwin, anak mereka yang cemerlang dalam pelajaran dan bantuan khairat kematian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top