Tak sabar 'kecek kelate'

Tak sabar 'kecek kelate'



am@hmetro.com.my

NASKHAH Projek High Council yang mencetus fenomena ternyata mempunyai aura dan kelompok peminat tersendiri.

Bersyukur dipilih sebagai salah seorang teraju, Aedy Ashraf menjelaskan turut melalui proses uji bakat sama seperti orang lain.

Tambah Aedy lagi, ibunya turut meminati naskhah berkenaan dan meluahkan perasaan teruja apabila dia bakal menjayakan filem Kahar Kapla High Council.

“Ibu saya sejujurnya adalah peminat naskhah ini dan apabila saya berkongsi bakal berlakon dalam filem ini, dia antara yang begitu teruja.

“Malah, saya juga memberikan sepenuh masa dan komitmen yang mana saya menjaga pemakanan dan bersenam demi watak Beja.

“Ramai yang tidak sangka saya menghantar video kepada pihak produksi, namun saya melalui proses saringan seperti orang lain,” kata Aedy.

Mengulas lanjut mengenai wataknya sebagai Beja dalam filem itu, Aedy turut berkongsi keterujaan apabila penantiannya untuk berlakon menggunakan loghat Kelantan dalam naskhah seni akhirnya tercapai.

Menurut Aedy, selama 23 tahun berada dalam dunia seni, dia tidak pernah ditawarkan watak sebagai anak Kelantan walaupun dirinya berasal dari negeri pantai timur itu.

“Saya orang Kelantan dan dilahirkan di sana. Saya membesar di Kuala Lumpur, bapa saya orang Kelantan, keluarga juga masih ada lagi di sana.

“Tapi, sepanjang pembabitan dalam bidang seni tidak pernah ada tawaran watak yang memerlukan saya bercakap dialek Kelantan.

“Ada loghat Perak, Kedah, Temerloh semua saya boleh buat sebab saya belajar. Tetapi, saya ternanti-nanti juga bila lagi nak dapat watak di mana datangnya tempat kelahiran saya sendiri.

“Bila saya diberitahu ada sesi uji bakat untuk watak Beja dalam filem itu, terus saya cuba nasib. Mungkin ini masanya untuk saya tunjukkan dekat orang saya boleh bertutur dialek Kelantan sebab sebelum ini saya tidak pernah beritahu orang lain,” katanya.

Selain Aedy, pelakon lain yang turut membintangi Kahar Kapla High Council adalah Amir Ahnaf, Sky Islandar, Thompson Goh dan Khenobu.

Filem Kahar Kapla High Council difahamkan naskhah prekuel kepada drama premium High Council.

Kahar Kapla High Council yang diarahkan oleh pengarah drama premium Anchor SPM iaitu Razaisyam Rashid dijangka menemui penonton pada hujung tahun ini.

Skrip Kahar Kapla High Council ditulis oleh pasukan Astro Shaw yang diketuai pengarah High Council, Anwari Ashraf bersama seorang penulis High Council, Luqman Alhakim Sheikh Ghazali.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top