Malaysia perlu tetapkan harga dan cukai karbon sebelum CBAM pada 2026

Malaysia perlu tetapkan harga dan cukai karbon sebelum CBAM pada 2026


KUALA LUMPUR – Malaysia perlu melaksanakan penetapan harga karbon bagi memudahkan perdagangan karbon termasuk mengkaji cukai karbon ketika Kesatuan Eropah (EU) bersedia untuk memulakan Mekanisme Penyesuaian Sempadan Karbon (CBAM) menjelang 2026.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata, cukai tersebut akan disalurkan ke dalam pelaburan hijau termasuk pelaburan ke dalam keluli mesra alam.

“Penetapan harga karbon, perdagangan dan cukai adalah aspek penting dalam agenda penyahkarbonan.

“Di bawah CBAM, eksport keluli dan lima item tersenarai lain dari Malaysia akan dikenakan cukai oleh EU melainkan Malaysia mula mengutip cukai terkait,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada pelancaran laporan ke-15 Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) mengenai status serta unjuran industri besi dan keluli Malaysia.

Sementara itu, Liew berkata, kementeriannya komited untuk bekerjasama dengan industri bagi mengatasi cabaran besi buruk selain mencari jalan untuk menangani kekurangan dan mewujudkan ekosistem yang lebih baik.

Industri besi dan keluli banyak dipengaruhi oleh faktor global, justeru perubahan dasar atau trend pasaran di China atau Amerika Syarikat akan memberi ‘kesan kupu-kupu’ yang ketara terhadap keuntungan, malahan kelangsungan industri keluli Malaysia.

“Saya berpandangan bahawa industri pembinaan dan sektor hartanah di China sedang mengalami perubahan struktur yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Oleh itu, permintaan global ke atas produk panjang atau keluli pembinaan akan terjejas untuk masa yang lama, mungkin selama bertahun-tahun.

“Permintaan keluli global merosot untuk tahun kedua berturut-turut kepada 1,763 juta tan pada 2023. Oleh itu, analisis serantau yang disediakan oleh Laporan MISIF adalah sangat penting bagi penggubal dasar selain membolehkan industri membuat keputusan,” katanya.

Liew menegaskan kapasiti penggunaan produk keluli mentah (bilet, keluli blum, papan besi) Malaysia untuk 2023 berada pada 39.1 peratus, jauh lebih rendah daripada global tahap 75.7 peratus dan tahap ASEAN-6 sebanyak 60.1 peratus.

Walau bagaimanapun, produk rata mungkin mempunyai prospek yang lebih cerah, memandangkan terdapat pemindahan sekali dalam satu generasi rantaian bekalan dari China ke Asia Tenggara.

“Dengan lebih banyak aktiviti pembuatan di Asia Tenggara, produk rata yang biasa digunakan dalam industri automotif, jentera berat dan perkakasan seharusnya mempunyai prospek yang lebih baik,’ katanya. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top