asyikin.mat@hmetro.com.my
MAHLIGAI perkahwinan selama 10 tahun yang dibina wanita ini musnah angkara sihir pemisah.
Dugaan yang ditanggungnya sangat berat hingga memberi kesan kepada mental dan kesihatannya.
Wanita dikenali sebagai Rahayu, 40, ini berkata, rumah tangganya mula bermasalah pada tahun kelima perkahwinan dan sering bertengkar dengan suami walaupun hal kecil.
“Keadaan (sihir pemisah) berlarutan hingga menjejaskan kesejahteraan mental, emosi dan kesihatan saya.
“Saya temui ramai perawat Islam bertauliah sebagai ikhtiar, tetapi suami enggan turut serta.
“Sebaliknya suami menuduh saya berpura-pura sakit, sedangkan kesihatan semakin merosot,” katanya.
Katanya, situasi menekan itu mendorongnya memfailkan perceraian dan berpisah dengan suaminya tiga bulan lalu demi masa depan anak-anak.
Mengulas berkenaan situasi dihadapi Rahayu, Peguam Syarie Nu’aim Majemi berkata, sihir pemisah dalam perkahwinan memang benar wujud dan perkara ini ada dinyatakan dalam al-Quran.
Menurutnya, ia adalah gangguan yang juga diistilahkan sebagai jampi serapah digunakan oleh pihak tertentu bagi tujuan niat tidak baik. Ia satu bentuk sihir dihantar untuk menimbulkan perselisihan atau memporak-perandakan rumah tangga.
“Pelakunya boleh sahaja orang ketiga, orang luar atau ahli keluarga sendiri.
“Saya ada kendalikan beberapa kes membabitkan sihir pemisah hingga pasangan itu bercerai.
“Sebenarnya agak sukar mengesan gangguan ini dalam rumah tangga, tetapi dapat dilakukan berdasarkan ilmu. Tidak boleh sekadar tuduhan atau membuat sangkaan,” katanya.
Nu’aim berkata, dia berkongsi tiga tanda besar suami isteri terkena sihir pemisah berdasarkan ilmu dipelajari sebagai penuntut rawatan Islam dan kes dikendalikannya.
Katanya, tanda pertama ialah pasangan baharu mendirikan rumah tangga tidak boleh melakukan hubungan intim yang menyebabkan mereka bercerai meskipun usia perkahwinan baru sebulan.
“Tanda kedua adalah pasangan ini menjadi ‘panas’ dan kerap bertengkar apabila dekat, tetapi saling rindu ketika berjauhan.
“Ada juga sebaliknya iaitu saling membenci dan masih bertengkar walaupun berjauhan,” katanya.
Menurutnya lagi, tanda ketiga adalah pasangan mengalami masalah kesuburan dan isterinya sukar hamil.
“Oleh itu, pasangan yang sudah setahun belum dikurniakan cahaya mata, disarankan menjalani rawatan moden dan rawatan Islam.
“Pernah saya menasihati anak guam yang mengalami masalah ini (kesuburan) supaya menjalani rawatan Islam dan Alhamdulillah isterinya hamil,” katanya.
Tambahnya, ada beberapa punca sihir pemisah dalam perkahwinan seperti hasad dengki, iri hati dan penyakit ain.
“Hasad dengki berlaku apabila orang disukai berkahwin dengan orang lain, mendorong pelaku berjumpa bomoh untuk memisahkan mereka.
“Manakala iri hati biasanya daripada orang yang rapat dengan mangsa.
“Punca ketiga ialah penyakit ain disebabkan hasad dengki dan pandangan jahat mengakibatkan orang terkena penyakit itu menjadi tidak tenteram.
“Sebab itu tidak digalakkan mempamerkan kebahagiaan rumah tangga di media sosial kerana boleh mengundang penyakit ain,” katanya.
Kata Nu’aim, beliau kongsikan satu kes membabitkan sihir pemisah yang dikendalikan di Perak tahun lalu.
“Suami pulang kerja waktu malam dan anak menangis menyebabkan hilang pertimbangan lalu menceraikan isteri talak tiga.
“Pada masa sama, isteri bertanya kepada suami kerana mahu berbincang untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.
“Namun, mahkamah memutuskan lafaz cerai ini tidak sah berdasarkan fakta kes,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, perkahwinan yang terkena sihir pemisah boleh diselamatkan, sekiranya kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri memainkan peranan mereka.
“Masalah rumah tangga menjadi rumit jika satu pihak enggan memberikan kerjasama kerana tidak mempercayai kewujudan sihir pemisah.
“Proses rawatan Islam juga memerlukan komitmen kedua-dua pihak. Mereka hendaklah berjumpa perawat Islam bertauliah dan mendapatkan pendapat pakar daripada perawat yang mengamalkan Ruqyah Syariah.
“Di samping mengamalkan ayat suci al-Quran sebagai pendinding diri dan pembatal sihir,” katanya.
Nu’aim berkata, kesalahan sihir pemisah membabitkan hukum dan hukuman.
“Hukumnya ialah jika melakukan tindakan ini adalah perbuatan haram dan syirik.
“Malah hukuman yang ada dalam undang-undang ialah boleh dipenjara tiga tahun dan denda RM5,000 bagi kesalahan membabitkan bomoh serta sihir,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd