Penyerang Nottingham Forest, Chris Wood meledak gol ke-19 musim ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika membantu pasukannya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Tottenham Hotspur di Stadium Tottenham Hotspur, awal pagi Selasa
Kemenangan itu melonjakkan Forest tiga anak tangga ke kedudukan ketiga liga, sekali gus menyalakan kembali harapan untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan selepas dua kekalahan berturut-turut sebelum ini menjejaskan rentak mereka.
Forest memulakan aksi garang dan meraih gol pendahuluan seawal minit kelima hasil sepakan penjuru yang dimanfaatkan Elliot Anderson.
Rembatan deras Anderson dari luar kotak penalti terkena pertahanan lawan sebelum menerjah gawang, menewaskan penjaga gol tuan rumah.
Wood juga penyerang kebangsaan New Zealand, hampir menggandakan kelebihan Forest namun jaringannya dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) akibat ofsaid.
Namun, beliau tidak perlu menunggu lama untuk menjaringkan gol ke-19 peribadinya musim ini apabila menanduk masuk hantaran lintang Anthony Elanga pada minit ke-16.
Tottenham bangkit di babak kedua dan meningkatkan tekanan ke atas Forest, menyaksikan usaha kelab London itu akhirnya membuahkan hasil apabila Richarlison menanduk masuk gol pada minit ke-87 selepas menerima hantaran silang Wilson Odobert.
Tuan rumah mencatatkan 22 percubaan berbanding hanya empat daripada Forest, namun ketumpulan penyudah dan ketangkasan penjaga gol pelawat, Matz Sels, menghalang kebangkitan Spurs.
Persembahan cemerlang Harry Toffolo yang menyelamatkan tandukan Dejan Kulusevski di garisan juga menjadi kunci kemenangan pelawat.
Kemenangan itu membolehkan Forest mengumpul 60 mata untuk mengatasi Chelsea, Manchester City dan Newcastle United dalam perebutan tempat lima teratas.
Tottenham pula terus terperosok di tangga ke-16 dengan hanya 37 mata selepas mencatat kekalahan liga ke-18 musim ini.
Sebagai rekod, pengendali Forest, Nuno Espirito Santo pernah dipecat Tottenham selepas hanya empat bulan mengendalikan pasukan itu pada 2021.
Sementara itu, Anderson menyifatkan tiga mata yang diraih di London adalah kemenangan besar buat Forest.
“Ya, kami benar-benar perlukan tiga mata ini selepas dua kekalahan sebelum ini. Para pemain berjuang habis-habisan, menunjukkan semangat juang dan jati diri pasukan,” katanya.
Sementara itu, pengendali Spurs, Ange Postecoglou mengakui tekanan semakin memuncak ke atasnya dengan prestasi hambar yang ditampilkan The Lilywhites.
“Kami kalah lagi dan ia tidak boleh diterima. Saya tidak perlu memberitahu apa-apa kepada peminat – mereka sudah cukup kecewa. Kami semua kecewa,” ujarnya.
Biarpun Spurs mara ke separuh akhir Liga Europa selepas menewaskan Eintracht Frankfurt, kekalahan ini juga merupakan yang pertama di laman sendiri kepada Forest sejak tahun 1997 juga menimbulkan persoalan prestasi Lilywhites di pentas empat terbaik kejohanan tahap dua Eropah itu.
Forest pula kini dalam kedudukan terbaik untuk menamatkan kemarau 45 tahun tanpa kelayakan ke Liga Juara-Juara – kejohanan yang pernah mereka menangi secara berturut-turut pada tahun 1979 dan 1980.