Kelab Liga M kena ada integriti

Kelab Liga M kena ada integriti


PETALING JAYA: Pelaksanaan peraturan Financial Fair Play (FFP) yang lebih ketat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan dijangka tidak memberi impak besar sekiranya kelab-kelab tempatan masih gagal mengutamakan integriti dalam pengurusan masing-masing.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, masalah tunggakan gaji dan ketidakstabilan kewangan yang membelenggu bola sepak negara sejak sekian lama membuktikan isu pengurusan masih belum ditangani secara menyeluruh.

Menurut beliau, penguatkuasaan peraturan semata-mata tidak mencukupi untuk menjamin perubahan sekiranya masih ada pihak mengambil kesempatan terhadap kelemahan sistem demi kepentingan tertentu.

“Sekiranya kita melaksanakan FFP sekalipun, kelab-kelab berkemungkinan masih gagal mematuhinya. Kelab perlu bersikap jujur, amanah, dan memastikan kelangsungan tata kelola yang baik.

“Undang-undang semata-mata tidak memadai jika masih ada pihak yang mencari kelemahan sistem untuk kepentingan peribadi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zulakbal menjelaskan, setiap kelab perlu lebih realistik dalam mengurus kewangan dengan berbelanja mengikut kemampuan sebenar agar tidak berdepan krisis yang akhirnya memberi kesan kepada pemain, pegawai dan kestabilan pasukan.

Hanya dengan tadbir urus yang telus serta disiplin kewangan yang kukuh, matlamat untuk menjadikan Liga M lebih profesional dan mampan mampu direalisasikan dalam jangka panjang.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top