mohamadridzuan@hmetro.com.my
TIDAK keterlaluan dikatakan pelakon, Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Shukri Yahaya dan beberapa nama hebat lain kini dikategorikan sebagai pelakon elit tanah air.
Justeru, bukan menghairankan apabila pelakon sedang meningkat naik, Jazmy Juma turut menyimpan impian untuk berada dalam kelompok mereka.
Jazmy atau nama sebenar Jazmy Khan Juma Khan, 28, tanpa berselindung mengakui keinginannya untuk bergandingan dengan ‘abang-abangnya’ itu.
“Sudah tentu perasaan itu ada. Sebab saya rasa pengetahuan, pengalaman dan sistem kerja mereka pasti sudah lain. Jadi, sistem kerja saya pun berubah-ubah setiap kali saya masuk set.
“Saya akan ubah sistem kerja daripada persediaan dan pelbagai perkara lain. Bila ada input baru saya akan ambil dan perkara ini lagi memudahkan kerja saya.
“Saya akan guna perkara (input) ini. Jadi, kerja dengan abang-abang ataupun aktor senior yang sudah lama bekerja dekat dalam industri ini sememangnya satu peluang keemasan,” katanya.
Bukan hanya pelakon, malah bintang drama Kerana Cinta Itu Dusta berkata, dia menghormati setiap penggiat seni tidak kira penyanyi, pelawak atau pengacara.
“Mereka masing-masing mempunyai pengalaman dan kehebatan tersendiri yang mungkin mereka boleh ‘advise’ pada saya untuk buat perkara yang memudahkan kerja saya.
“Saya harap perkara itu ada. Alhamdulillah…perkara begini ada dan saya gembira sangat sebab saya rasa perkara ini yang akan menjadikan industri kita lebih berwarna-warni.
“Ada banyak ‘upcoming’ aktor ataupun aktres yang lebih berkualiti, yang betul-betul menjaga kerjanya, yang lebih komited dengan kerja menggunakan sistem kerja yang betul.
“Dan sampai sekarang, saya masih nak belajar lagi macam mana sistem kerja mereka ini, macam mana mereka ‘prepare’ skrip, macam mana mereka hafal skrip,” katanya.
Jazmy berkata, dia melihat mereka bukan sekadar memahami skrip, tetapi mendalami skrip, sekali gus memudahkan penggambaran yang dilakukan.
“Saya akan ikut arahan mereka dengan hati terbuka. Malah saya takkan anggap ada unsur buli. Tak ada istilah buli dalam industri ini.
“Saya pernah dengar pesanan, kalau orang nasihat kamu kuat-kuat di khalayak ramai, dia bukan nasihat, (tapi) dia menghina. Tapi, kalau orang nasihat dalam keadaan berdua atau orang lain tak dengar, itu dia nasihat kamu.
“Dan saya selalu dapat cara yang kedua. Jadi, saya tak rasa dia buli saya. Saya tak rasa dia nak menghina saya. Saya boleh terima perkara itu,” katanya.
Pada masa sama, Jazmy memaklumkan dia selalu mengambil positif setiap kata-kata nasihat serta cadangan dan akan mengkaji semula apabila berada di rumah.
“Apabila balik (rumah) itu saya akan fikir, macam betul juga dia cakap macam ini. Lepas ini aku kena ubah, aku rasa aku nak cuba buat macam ini pula.
“Kalau benda itu saya selesa, saya akan teruskan. Cuma buat masa ini saya belum berpeluang berlakon dengan idola ini walaupun dalam drama. Mungkin kat filem kot, insya-Allah.
“Saya akan terus berusaha dan berdoa untuk capai tahap terbaik dalam kerjaya yang saya minat ini,” katanya bersungguh-sungguh.
Jazmy yang sinonim dengan watak ‘hero romantik’ kini terbabit dengan projek terbaru TV3 berjudul Yes! Captain Zul Aaryan yang menggandingkannya dengan Anna Jobling.
Drama adaptasi novel popular karya Wnfhanna arahan Nizam Zakaria ini dihasilkan sebanyak 30 episod.
Naskhah terbabit sebelum ini mencetus fenomena di Wattpad dengan lebih 1.3 juta bacaan sebelum diterbitkan secara fizikal.
Ia juga antara karya Melayu paling laris dengan jualan mencecah 35,000 naskhah selain pernah menduduki carta No 1 Mutiara Minda 2026 dan konsisten berada dalam kelompok Top 10 MPH.
“Kalau orang nampak saya kerap muncul di kaca TV, Alhamdulillah…selagi orang nampak, selagi ada rezeki saya. Saya percaya dengan rezeki.
“Jika orang kata muak asyik-asyik muka saya, tak apalah, mungkin saya kena ‘plan’. Mungkin saya kena plan ‘my journey ini’. Saya kena pilih.
“Tapi, setakat ini kalau saya dapat ‘storyline best’, cerita itu ‘best’, saya rasa nak buat juga cerita itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






