Maraton Bintulu 2025 sasar pecah rekod penyertaan

Maraton Bintulu 2025 sasar pecah rekod penyertaan


EDISI ketiga Maraton Bintulu yang bakal berlangsung pada 3 Ogos ini menyasarkan penyertaan peserta paling ramai dalam sejarah penganjuran acara tersebut.

Acara anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) itu mendapat sambutan hangat dalam dua edisi terdahulu apabila berjaya menarik penyertaan seramai 3,535 orang pada 2023 sebelum melonjak kepada 5,800 pelari dari 19 negara pada tahun lalu.

Pengarah Maraton Bintulu, Awangku Mohd Sharifuddin Awangku Ahmad berkata, aspirasi utama penganjur adalah untuk menjadikan Maraton Bintulu sebagai antara acara larian paling menarik bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di pentas antarabangsa.

“Kami juga sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan Olahraga Dunia serta menarik penyertaan nama-nama besar dalam dunia maraton.

“Edisi 2025 akan menjadi langkah penting dalam perjalanan tersebut,” katanya.

Menurut Awangku Mohd Sharifuddin, acara yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM100,000 itu turut dijangka terus menarik kehadiran pelari elit antarabangsa, khususnya dari benua Afrika.

Beliau berkata, Maraton Bintulu juga akan dijadikan sebagai pesta budaya yang mengetengahkan hospitaliti dan keunikan Sarawak.

“Persembahan kebudayaan, gerai makanan tempatan dan kampung perlumbaan yang meriah bakal memberikan pengalaman penuh warna-warni kepada pelari dan pengunjung.

“Kami bukan sekadar menganjurkan maraton, sebaliknya mencipta kenangan seumur hidup.

“Daripada proses pengambilan kit perlumbaan sehinggalah ke garisan penamat, setiap elemen dirancang untuk memperlihatkan kehangatan dan keunikan Bintulu,” katanya lagi.

Dalam dua edisi terdahulu, pelari Kenya mendominasi podium dengan Geoffrey Birgen muncul juara sulung menerusi catatan masa 2 jam 18 minit 05 saat, manakala Denis Mugendi Kiura merangkul gelaran 2024 dengan masa 2:23:07.

Pelari maraton utama negara seperti Muhaizar Mohamed, Poo Vasanthan Subramaniam, Ahmad Luth Hamizan dan Haziq Hamzah turut mengambil bahagian sebelum ini, sekali gus menambah keterujaan peminat tempatan untuk terus memberikan sokongan.

Maraton Bintulu 2025 akan menampilkan kategori maraton penuh 42.195 kilometer (km), separuh maraton (21.1 km), larian jarak pertengahan 10 km dan larian santai sejauh 6 km. Hadiah akan ditawarkan dalam kategori Terbuka dan Veteran, dengan pemenang Terbuka menerima RM7,000 setiap seorang, manakala pemenang Veteran membawa pulang RM3,000.

Bagi menggalakkan kecemerlangan tempatan, bonus tambahan sebanyak RM2,000 akan diberikan kepada pelari lelaki dan wanita Malaysia terpantas dalam kategori Terbuka, dengan syarat mereka turut menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik.

Hadiah wang tunai akan diberikan kepada 10 peserta terbaik bagi setiap kategori, menjadikan acara ini antara kejohanan maraton paling lumayan di rantau ini.

Mereka yang berminat boleh melayari https://www.heyjom.com/event/Bintulu-Marathon-2025 atau https://cps4.me/bintulu-marathon-2025 untuk maklumat lanjut atau pendaftaran.



Source link

OR

Scroll to Top