TAPAH: Pemuda Perikatan Nasional (PN) meminta pihak berkuasa supaya siasatan secara telus membabitkan ladang babi berdekatan Kampung Poh di sini yang didakwa melakukan pencemaran sungai dan bau yang menjejaskan penduduk berhampiran.
Setiausaha Pemuda PN Perak, Nurhafizul Badrul Hisham berkata, pencemaran tersebut melibatkan isu alam sekitar yang serius tanpa mengira pegangan politik dan merentasi kaum.
“Saya meminta pihak berkuasa membuat siasatan terhadap perkara ini. Sisa kumbahan (dibuang) ke sungai yang jelas melanggar undang-undang negara kita.
“Saya juga berharap polis dapat membuat siasatan sekiranya berlaku apa-apa ruang , peluang sogokan, salah guna kuasa ataupun unsur rasuah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini mengenai dakwaan ladang babi yang mencemar sungai.
Media melaporkan hari ini, PN menggesa kerajaan negeri menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sebuah ladang ternakan babi yang membuang sisa najis haiwan itu ke Sungai Bidor.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berdasarkan tinjauan pihaknya, ladang yang terletak di Kampung Poh di sini terletak 140 meter daripada penempatan.
Kata Nurhafizul, penduduk setempat mendakwa, isu tersebut telah lama berlaku yang tiadanya penyelesaian tuntas setakat ini.
“Saya berharap ladang-ladang berdekatan perumahan orang Melayu, Cina dan India dapat dipindahkan.
“Ladang babi yang tiada papan tanda, maklumat pemiliknya perlu disiasat dan sekiranya haram perlu ditutup selain yang sedia ada menggunakan kaedah moden yang mesra alam sekitar,” katanya. – UTUSAN