LIVERPOOL hanya memerlukan keputusan seri ketika menentang Tottenham Hotspur di Anfield, Ahad ini bagi mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) ke-20.
Biarpun begitu, pengendali The Reds, Arne Slot, mengingatkan pemain-pemainnya agar tidak meraikan kejayaan sebelum tiupan wisel penamat.
Kedudukan liga terkini menyaksikan Liverpool berada di puncak dengan kelebihan 12 mata dan masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Ini selepas pencabar terdekat, Arsenal, hanya mampu meraih keputusan seri 2-2 menentang Crystal Palace.
Dengan hanya memerlukan satu mata, sama ada melalui kemenangan atau seri, Liverpool akan mengesahkan kejuaraan dengan mengumpul 80 mata daripada 34 perlawanan – satu pencapaian yang luar biasa dalam musim pertama Slot menggantikan Jürgen Klopp.
“Ini adalah tanggungjawab yang besar. Kami sedar kali terakhir kelab ini memenangi liga adalah pada era pandemik Covid-19 (2020), jadi semua orang ternanti-nantikan perlawanan Ahad ini. Tetapi kami tahu tugas kami masih belum selesai,” kata Slot kepada wartawan pada Jumaat.
Pengurus berusia 46 tahun dari Belanda itu telah melangkaui jangkaan ramai dalam musim sulungnya, apabila Liverpool hanya mengalami dua kekalahan dan terus mendahului liga dengan rekod yang sangat meyakinkan.
“Seperti yang telah saya katakan berkali-kali, apabila anda menyertai kelab ini, anda hanya perlu memahami keadaan sekeliling, dan kemudian bekerjasama dengan pemain untuk membentuk gaya permainan – yang mana kami tahu tidak perlu diubah terlalu banyak.
“Apabila anda melangkah ke Anfield, anda tahu kelab ini perlu memenangi trofi. Perkara itu tidak berubah walaupun selepas saya tiba. Perkara yang baik tentang kelab ini ialah kebanyakan pengurus kekal untuk tempoh yang lama, jadi anda mempunyai banyak peluang untuk memenangi sesuatu.
“Anda sedar akan hal itu, tetapi bukan itu yang pertama kali terlintas di fikiran apabila anda menyertai kelab ini,” ujar Slot.
Slot juga menepis pandangan yang mengatakan liga musim ini lemah disebabkan prestasi yang kurang memberangsangkan daripada Manchester City dan Manchester United.
“Sukar untuk menilai, saya baru setahun di sini. Saya hanya boleh bercakap berdasarkan pengalaman saya.
“Persaingan untuk merebut tempat empat dan lima teratas musim ini sangat sengit. Pada tahun-tahun sebelumnya, agak jelas siapa yang akan mengisi kelompok teratas. Bagi saya, ini adalah liga yang sangat sukar. Sukar untuk menang dalam setiap perlawanan, dan mungkin itu menunjukkan sesuatu tentang kemampuan kami,” katanya.
Sekiranya berjaya meraih sekurang-kurangnya satu mata menentang Spurs, Liverpool bukan sahaja akan mengesahkan kejuaraan musim ini, malah akan menyamai rekod 20 kejuaraan liga utama England yang kini dipegang oleh Manchester United.