Pastikan skuad Kenari tidak ikut jejak Bos Gaurus

Pastikan skuad Kenari tidak ikut jejak Bos Gaurus


KEPUTUSAN Perak FC menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan kerana masalah kewangan seharusnya menjadi pengajaran besar kepada semua pasukan termasuklah Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Ia memandangkan seperti mana skuad The Bos Gaurus, KDA FC difahamkan turut berdepan krisis kewangan yang serius melibatkan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan berjumlah RM7 juta.

Lebih membimbangkan, ramai pemain utama Sukhrob Nurulloev, Cleylton Santos, Faiz Nasir, Sonny Norde, Fikri Che Soh dan penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz sudah meninggalkan pasukan itu sejak tahun lepas.

Walaupun Jawatankuasa First Instance Body (FIB) bersetuju untuk memberikan lanjutan masa bagi kelab melengkapkan semua dokumen untuk Pelesenan Kelab Kitaran 2024 – 2025 bagi Lesen Kebangsaan di dalam sistem pelesenan AFC CLAS, namun ia bukanlah masa menarik nafas lega.

Untuk tempoh masa singkat selama 10 hari itu, tindakan segera perlu diambil bagi memastikan pasukan Kedah yang pernah muncul sebagai juara double treble pada 2007 dan 2008 di bawah kendalian jurulatih legenda, Allahyarham Mohd Azraai Khor Abdullah, malah pernah memenangi Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017 di bawah pimpinan Tan Cheng Hoe tidak mengulangi nasib sama seperti Perak FC.

Situasi melanda pasukan kesayangan rakyat Kedah menyebabkan beberapa penyokong setia KDA FC termasuklah pemilik Puaka Jerai Fans Club (PJFC), Zulkifli Hashim menzahirkan kebimbangan bahawa kegagalan menyelamatkan pasukan tersebut bakal memberi tamparan hebat kepada penyokong setia.

Zulkifli menyifatkan bola sepak sebagai hiburan nombor satu rakyat Kedah dan kehilangan KDA FC daripada Liga Super akan mencetuskan kekecewaan serta kehampaan yang besar dalam kalangan penyokong.

Beliau turut menyeru agar pihak pengurusan KDA FC bertindak segera dan tegas bagi memastikan kelangsungan pasukan menjelang musim baharu Liga Malaysia.

Dalam hal terbabit, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing daripada pengurusan tertinggi KDA FC, kerajaan negeri, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sehinggalah penyokong demi memastikan kelangsungan KDA FC.

Walaupun kini pasukan bola sepak terbabit dibawah pengurusan swasta dan bukan lagi milik kerajaan negeri, namun usaha menyelamatkan KDC FC tidak diharuskan diletakkan di bawah tanggungjawab pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar semata-mata.

Mujurnya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas Majlis penyampaian ganjaran kepada atlet dan pegawai sempena temasya Para Asean Games Cambodia 2023, Sukma & Para Sukma XXI Sarawak 2024 dan Olimpik Paris 2024 pada Mac lepas memaklumkan kerajaan negeri tidak tidak pernah lepas tangan membantu pasukan KDA FC.

Terbaharu, Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada anak-anak Kedah menjelaskan masih ada cara untuk untuk memastikan bola sepak Kedah terus bernafas dan kembali bangkit, walaupun belum bersedia mendedahkan keseluruhan cara itu.

Mohd Daud turut memaklumkan KDA belum berkubur dan masih berusaha keras untuk terus bersaing di pentas Liga Super, dan kini sedang dalam rundingan bagi mendapatkan khidmat legenda bola sepak Portugal, Ricardo Quaresma, sebagai pemain baharu bagi musim 2025/2026.

Usaha diambil Mohd Daud, kerajaan negeri dan NGO terbabit sedikit sebanyak menunjukkan ramai penyokong khususnya anak-anak Kedah masih sayangkan pasukan yang pernah mengharumkan nama Kedah bagi memastikan pasukan itu tidak terkubur kerana kemelut kewangan.

Justeru, penyelamatan KDA FC perlu terus dijadikan agenda bersama dan tidak diserahkan sepenuhnya kepada mana-mana satu individu atau entiti semata-mata demi memastikan Kedah mampu kembali mengemparkan arena bola sepak negara.



Source link

OR

Scroll to Top