am@hmetro.com.my
Dungun: Kehilangan rumah akibat banjir besar pada Disember 2023 menyebabkan tujuh sekeluarga hidup dalam keadaan daif di sebuah pondok buruk di Kampung Shukur, Pasir Raja, Hulu Dungun, di sini.
Tengku Nor Shahida Tengku Hashim, 41 dan suami Tengku Hassan Tengku Jaafar, 48, serta lima anak berusia antara tiga hingga 21 tahun hanya menjadikan pondok berdindingkan kanvas dan zink serta berlantaikan kertas tebal sebagai tempat berlindung.
Tengku Nor Shahida yang menyara kehidupan mereka dengan berniaga makanan dan minuman di warung memperoleh hasil jualan RM50 sehari, manakala suaminya yang berkerja sendiri tidak mampu menyewa kediaman.
“Pendapatan hasil jualan dan upah diperoleh suami digunakan untuk perbelanjaan makan dan minum serta dijadikan modal pusingan.
“Pondok yang terletak bersebelahan warung ini disewa daripada penduduk kampung selepas kediaman kami rosak teruk akibat banjir besar pada Disember 2023.
“Ketika kejadian itu, kami terpaksa bermalam dalam kereta lebih tiga hari sebelum ditawarkan warung dan pondok buruk sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui di sini.
Tengku Nor Shahida berkata, dia sudah memohon bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan, tetapi tiada sebarang jawapan.
“Setakat ini kami masih berusaha memohon bantuan sama ada untuk membaikpulih kediaman yang rosak atau membina kediaman baharu,” katanya yang mengakui anaknya pernah disengat kala jengking ketika sedang tidur.
Katanya, ada pihak yang prihatin menawarkan sebuah rumah kecil tanpa kemudahan asas berhampiran pondok berkenaan dan menjadi tempat berteduh tiga daripada lima anaknya.
“Saya dan suami serta anak bongsu masih tidur dalam pondok manakala seorang lagi anak berusia 21 tahun tidur dalam warung,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd