PRESIDEN Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin, menyifatkan infrastruktur bola sepak Itali sebagai ‘teruk’ dan jauh ketinggalan berbanding lima liga utama Eropah lain.
Dalam satu temu bual pada Selasa, Ceferin ditanya mengenai bidaan Stadium San Siro yang ditolak untuk menjadi tuan rumah final Liga Juara-Juara dan perbincangan berterusan mengenai rancangan stadium baharu di Milan.
“Infrastruktur bola sepak Itali adalah memalukan. Anda adalah salah satu negara bola sepak terbesar, yang memenangi banyak Piala Dunia, Euro, Liga Juara-Juara. Pada masa sama, di antara negara-negara besar, anda mempunyai infrastruktur yang jauh terburuk.
“Sejujurnya, saya agak bosan dengan perbincangan Itali mengenai infrastruktur ini, kerana apa yang kita lihat hanyalah perbincangan.
“Kelab-kelab memerlukan bantuan daripada kerajaan, mereka memerlukan bantuan daripada pihak perbandaran. Pelabur swasta akan melabur. Sudah tiba masanya untuk melakukan sesuatu, kerana infrastrukturnya sangat teruk,” kata Ceferin kelahiran Slovenia itu.
Sebagai rekod, Stadium San Siro di Milan dijadualkan menjadi tuan rumah upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 pada Februari.
Selain itu, Itali juga akan menjadi tuan rumah bersama Kejuaraan Eropah 2032 dengan Turkiye.
“Saya belum bimbang lagi (mengenai Euro). Saya rasa sekarang, kerajaan (Itali) telah memahami bahawa mereka perlu melakukan sesuatu.
“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap Gabriele Gravina, yang merupakan naib presiden pertama saya. Beliau akan melakukan segala yang mungkin untuk merapatkan jurang ini,” kata Ceferin.