Penyerang Liga Colombia perkuat Harimau Malaya?

Penyerang Liga Colombia perkuat Harimau Malaya?


HARIMAU Malaya dilaporkan bakal menerima suntikan baharu di bahagian serangan menerusi kehadiran pemain warisan yang kini beraksi dalam Liga Colombia.

Memetik laporan wartawan sukan Colombia, Pipe Sierra di platform X, pemain yang dimaksudkan ialah Rodrigo Holgado yang kini menyarung jersi kelab América de Cali.

Difahamkan, Holgado yang berusia 29 tahun dan berasal dari Argentina mempunyai pertalian darah Malaysia menerusi neneknya, sekali gus melayakkannya untuk didaftarkan sebagai pemain warisan.

Menurut Sierra, proses dokumentasi pemain itu kini berada pada peringkat akhir dan dijangka diselesaikan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang pengesahan rasmi dibuat sama ada oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahupun kelab pemain terbabit.

Status Holgado juga masih menjadi tanda tanya sama ada beliau akan sempat menyertai skuad negara menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, bulan depan.

Terdahulu, ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski memberi bayangan bahawa akan ada penambahan pemain warisan baharu dalam skuad kendaliannya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa sebarang pengumuman rasmi dijangka hanya dibuat pada awal Jun.

“Seperti yang telah banyak dilaporkan, memang ada beberapa pemain di luar negara yang berpotensi untuk menyertai pasukan.

“Walaupun kami belum dapat mengesahkannya sepenuhnya hari ini, saya boleh nyatakan bahawa ada antara mereka yang sudah bersedia untuk dipanggil.

“Masa akan menentukannya dan kami berharap dapat berkongsi berita baik awal Jun nanti,” katanya ketika sidang akhbar sebelum ini.

Jika dimuktamadkan, kehadiran Holgado dilihat mampu memberi nafas baharu di bahagian serangan Harimau Malaya yang kini bergelut mencari penyerang prolifik selepas ketiadaan penyerang utama berprofil tinggi.



Source link

OR

Scroll to Top