Matheus Cunha hampir sertai Manchester United dengan perpindahan bernilai £62.5 juta.
PENYERANG Wolverhampton Wanderers, Matheus Cunha kini berada di peringkat akhir rundingan untuk menyertai Manchester United dalam satu perpindahan yang dianggarkan bernilai £62.5 juta (sekitar RM375 juta).
Difahamkan, Manchester United akan melunaskan jumlah penuh bagi perpindahan penyerang Brazil itu secara ansuran dalam tempoh dua tahun, dengan perjanjian berhubung terma peribadi pemain berusia 25 tahun tersebut hampir dimuktamadkan.
Wolverhampton setakat ini masih belum menerima tawaran rasmi daripada Manchester United, namun dijangka ia dikemukakan dalam beberapa hari lagi.
Bagaimanapun, memandangkan Cunha mempunyai klausa pelepasan bernilai tetap, rundingan panjang antara kelab tidak diperlukan, syaratnya hanya Manchester United perlu bersetuju untuk membayar jumlah yang telah ditetapkan.
Sumber memaklumkan bahawa kelab dari Old Trafford itu diwajibkan menyelesaikan bayaran penuh menjelang akhir musim 2026/27.
Bayaran pertama sebanyak £20.8 juta akan dibuat sebaik sahaja perpindahan dimeterai, diikuti bayaran kedua pada penghujung musim depan, manakala baki akhir akan dijelaskan pada musim panas 2027.
Cunha, yang menyertai Wolves secara pinjaman dari Atletico Madrid pada Januari 2023 sebelum dibeli secara tetap, telah membuat 92 penampilan dan menjaringkan 33 gol sepanjang tempoh bersama kelab itu.
Dalam perlawanan terakhir musim ini, Cunha dipercayai membuat penampilan terakhirnya untuk Wolves ketika seri 1-1 menentang Brentford pada Ahad.
Beliau turut memuat naik satu mesej perpisahan kepada penyokong menerusi media sosial sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan yang diberikan sepanjang kariernya di Molineux.
“Tahun ini merupakan musim terbaik dalam hidup saya dari segi pencapaian individu. Semua ini hanya tercapai kerana dedikasi dan kasih sayang saya terhadap kelab ini.
“Saya menjadi pemain Brazil dengan jumlah jaringan terbanyak dalam satu musim Liga Perdana Inggeris, sebaris dengan Roberto Firmino dan Gabriel Martinelli.
“Saya akui pernah melakukan kesilapan dan juga mencapai kejayaan, namun semuanya kerana saya amat mencintai kelab ini. Apa yang saya inginkan hanyalah memberikan yang terbaik untuk Wolves. Musim ini telah berakhir, dan saya berterima kasih atas segala sokongan yang diberikan,” tulis Cunha