Berlin idam anjur Sukan Olimpik selepas satu abad

Berlin idam anjur Sukan Olimpik selepas satu abad


Berlin: Berlin mengemukakan cadangan secara rasmi untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas, termasuk bidaan bagi edisi 2036, tepat satu abad selepas acara itu dianjurkan oleh rejim Nazi pimpinan Adolf Hitler.

“Tidak kira di mana ia dianjurkan, Sukan Olimpik 2036 pasti akan mengembalikan perhatian kepada edisi 1936 yang dikaitkan dengan Nazi,” kata Datuk Bandar Berlin, Kai Wegner semasa pembentangan cadangan itu di Stadium Olimpik Berlin, yang dibina khas untuk temasya 1936.

Menekankan transformasi bandar itu, Wegner berkata, menganjurkan Sukan Olimpik 2036 akan memperlihatkan sebuah bandar yang sudah berubah dalam tempoh 100 tahun lalu.

“Kami tidak lagi melambangkan kebencian, tetapi kini adalah sebuah metropolis berwarna-warni, pelbagai budaya dan terbuka kepada dunia,” katanya.

Berlin kini bersaing dengan Munich (tuan rumah Olimpik 1972), Hamburg, dan satu bidaan bersama dari bandar-bandar dalam wilayah Rhine-Ruhr yang padat penduduk untuk menjadi tuan rumah temasya sukan berprestij itu.

Semua calon tuan rumah perlu menghantar konsep mereka kepada Persekutuan Sukan Olimpik Jerman (DOSB) sebelum Sabtu ini.

DOSB akan membuat keputusan mengenai bidaan rasmi yang akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menjelang musim luruh 2026.

Dalam pembentangannya, Berlin tidak menetapkan keutamaan tahun dan menyatakan keterbukaan untuk menjadi tuan rumah bukan sahaja pada 2036, tetapi juga 2040 atau 2044.

Cadangan Berlin termasuk penganjuran acara sukan di utara dan timur Jerman serta di lokasi bandar, pendekatan yang seiring dengan model Paris 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top