Kedudukan terika tanpa jaringan pada separuh masa pertama.
AKSI separuh masa pertama Piala Cabaran Maybank menyaksikan Manchester United bergelut untuk menampilkan permainan terbaik menentang ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dalam perlawanan yang disaksikan puluhan ribu peminat setia The Red Devils, pasukan kendalian Ruben Amorim itu kelihatan sukar menyesuaikan rentak permainan.
Percubaan awal dimulakan ASEAN All-Stars seawal minit kelima menerusi Hai Long Nguyen yang melepaskan rembatan deras, namun sekadar tersasar ke sebelah kanan pintu gol yang dikawal Andre Onana.
Beberapa minit selepas itu, giliran Amani Santos Aguinaldo pula mencemaskan pertahanan United dengan satu lagi percubaan, namun rembatan beliau melambung tinggi ke atas palang.
United hanya berjaya mencatatkan percubaan pertama pada minit ke-23 menerusi tandukan kapten mereka, Harry Maguire, namun ia mudah ditangkap kemas oleh penjaga gol ASEAN All-Stars, Patiwat Khammai.
Tersentak dengan tekanan berterusan, United melakukan lima pertukaran pada minit ke-30 termasuk mengeluarkan dua tonggak utama, Maguire dan Carlos Casemiro, dalam usaha mengubah corak permainan.
Pertukaran tersebut sedikit sebanyak menghadirkan impak apabila United tampak lebih agresif dan berjaya mencipta peluang menerusi Kobbie Mainoo, namun sekali lagi percubaan tersebut diselamatkan cemerlang oleh Khammai.
Separuh masa pertama tamat dengan keputusan seri tanpa jaringan, sekali gus menyaksikan United masih mencari rentak terbaik pada separuh masa kedua.