Tottenham pecat Postecoglou biarpun juarai Liga Europa

Tottenham pecat Postecoglou biarpun juarai Liga Europa


KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur memecat pengendali Ange Postecoglou dua minggu selepas beliau membimbing kelab London itu menjuarai Liga Europa, trofi utama pertama The Lilywhites dalam tempoh 17 tahun.

Postecoglou, 59, dipecat akibat prestasi hambar dalam EPL selepas Tottenham menamatkan musim di tempat ke-17 — kedudukan terburuk dalam sejarah kelab itu — biarpun membawa pulang trofi ke London.

“Lembaga Pengarah sebulat suara memutuskan bahawa perubahan ini adalah demi kepentingan terbaik kelab. Selepas permulaan yang baik pada musim EPL 2023/24, kami hanya mengutip 78 mata daripada 66 perlawanan EPL terakhir,” kata Tottenham dalam satu kenyataan.

Postecoglou meninggalkan kelab itu tepat dua tahun selepas pelantikannya dan 16 hari selepas kejayaan menewaskan Manchester United 1-0 di Bilbao, yang turut melayakkan The Lilywhites ke Liga Juara-Juara musim depan.

Bekas pengendali Celtic itu sebelum ini sentiasa menegaskan beliau akan memenangi trofi pada musim keduanya, dan beliau membuktikannya. Namun, kedudukan terburuk sejak musim 1976/77 menyaksikan jurulatih itu ditunjukkan jalan keluar dari London.

Beberapa pemain menyuarakan sokongan kepada Postecoglou, tetapi Pengerusi Tottenham, Daniel Levy kini mencari pengendali tetap kelima dalam tempoh enam tahun, dengan Thomas Frank (Brentford) dan Oliver Glasner (Crystal Palace) antara calon untuk mengisi jawatan tersebut.

“Walaupun memenangi Liga Europa musim ini adalah salah satu detik terhebat dalam sejarah kelab, kami tidak boleh mendasarkan keputusan kami pada emosi kemenangan ini,” tambah kenyataan itu.

Postecoglou akan pergi dengan penuh kebanggaan dan menerima bonus yang besar, tetapi kenyataannya bahawa “musim ketiga siri televisyen sentiasa lebih baik daripada yang kedua” kini kelihatan berakhir.

Beliau bermula dengan baik pada musim 2023/24 apabila mencatat permulaan terbaik kelab sejak 1961, namun prestasi itu semakin merosot.

Tottenham hanya memperoleh 38 mata musim ini dan tewas 22 perlawanan liga teratas, menyaksikan mereka hanya meraih lima mata daripada 12 perlawanan terakhir.

Postecoglou menyalahkan senarai panjang kecederaan yang menimpa pemain utama, namun Levy memutuskan bahawa Postecoglou bukan individu yang tepat untuk memimpin kelab ke hadapan.

“Kami yakin ini adalah keputusan yang tepat untuk memberi kami peluang terbaik untuk berjaya, namun ia bukan keputusan yang mudah. Kami mengucapkan terima kasih kepada Ange,” kata kelab itu.

Sementara itu, pengendali England, Thomas Tuchel, yang pernah dipecat Chelsea walaupun menjuarai Liga Juara-Juara, berkata: “Jika kepercayaan sudah tiada lagi, kadang-kadang memenangi trofi pun tidak mencukupi.”



Source link

OR

Scroll to Top