TULAR di media sosial apabila rakaman video menunjukkan sepasang suami isteri bergaduh sehingga membaling makanan di sebuah pasar raya baru-baru ini.
Apa yang lebih menyedihkan apabila lelaki tersebut bertindak mencampakkan beberapa makanan yang berada di dalam troli ke sekelilingnya.
Video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai selepas dimuat naik di media sosial.
Pendakwah, Dr Kamilin Jamilin ketika mengulas mengenai video tersebut berkata, satu Malaysia di media sosial ditipu dengan rakaman video drama suami isteri yang bergaduh di pasar raya itu sehingga membaling makanan.

DR KAMILIN
“Suami ambil makanan dari troli dan campak keluar, baling sana sini. Macam-macamlah teori netizen, ada yang kutuk suami panas baran, ada yang kesian dekat suami dan ada yang kesian kepada isteri.
“Tapi ramai yang mengatakan ia hanyalah prank content semata-mata. Kalau pun nak buat content, janganlah sampai baling rezeki. Tak elok dan tak cantik.
“Rezeki bukan untuk diaibkan, rezeki untuk dihargai, ini semua kurniaan ALLAH,” jelasnya di TikToknya baru-baru ini.
Tambah Dr Kamilin, beliau menasihatkan kepada semua pencipta kandungan di media sosial untuk tidak menipu orang ramai dengan content yang dibuat.

MAKANAN bukan untuk diaibkan, bahkan untuk dihargai. – Dr Kamilin
“Kita tahu sekarang manusia berlumba-lumba nak buat content yang boleh menarik perhatian, naikkan rating dan nak popular, tapi jangan sesekali menipu orang dengan content kita.
“Tidak kiralah untuk prank atau sekadar untuk melawak atau apa-apa tujuan sekali pun,” hurainya.
Ini kerana katanya, Nabi Muhammad SAW melarang keras umatnya daripada menipu dan berdusta walau apa pun niatnya.
“Bahkan kalau menipu untuk membuatkan seseorang itu ketawa pun Nabi SAW mengatakan orang itu celaka dan baginya neraka,” ujarnya.
“Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: ‘Hindarilah kalian daripada berdusta kerana sesungguhnya dusta itu membawa kepada dosa dan penyimpangan kepada kebenaran. Dan perkara tersebut membawa pelakunya ke neraka. Siapa yang sering berdusta dan mencari-cari untuk berdusta, akhirnya akan ditulis dan dicatat oleh ALLAH sebagai pendusta’,” jelasnya.
Dalam hadis lain yang diriwayatkan Abi Daud, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Aku menjamin syurga, tempatnya di tengah-tengah syurga bagi orang-orang yang sanggup meninggalkan pendustaan walau sekadar bergurau senda.”, ujarnya.
“Ingat tu para pembuat content semua, kita nakkan syurga ALLAH dan bukan neraka-NYA,” pesannya.