BEKAS penyerang legenda England, Alan Shearer menyelar kenyataan Ruben Amorim yang mendakwa bahawa kegagalan Manchester United untuk layak ke saingan Eropah musim depan boleh menjadi satu kelebihan.
United menamatkan musim lalu di tangga ke-15, iaitu pencapaian terburuk dalam sejarah kelab di Liga Perdana Inggeris (EPL), dan turut tewas kepada Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir Liga Europa.
Ketika menyertai jelajah pascamusim United di Malaysia, Amorim berkata bahawa ketiadaan dalam Liga Juara-Juara Eropah mungkin membolehkan kelab itu membuat persediaan yang lebih baik untuk setiap perlawanan.
Namun, Shearer tidak bersetuju dengan pandangan tersebut dan menyatakan bahawa satu kelebihan kecil itu sebenarnya dibayangi oleh lapan atau sembilan kekurangan akibat tidak bermain dalam kejohanan Eropah.
“Saya hanya boleh fikirkan satu kelebihan, tetapi kekurangan jauh lebih banyak.
“Newcastle pernah mengalami perkara yang sama musim ini. Dua musim lepas, mereka berdepan isu kecederaan dan skuad yang tidak cukup besar, dan itu memberi kesan besar kepada prestasi mereka. Itu sahaja kelebihannya.
“Tetapi terlalu banyak kelemahan jika tidak bermain di Eropah, khususnya Liga Juara-Juara. Antaranya, sukar untuk menarik pemain terbaik kerana mereka semua mahu bermain di pentas tertinggi. Dari segi kewangan juga memberi kesan.
“Sebagai pengurus, pemain, mahupun penyokong, anda mahu lihat pasukan anda bersaing dengan yang terbaik dan itu ada di Eropah. Jadi ya, mungkin ada satu kelebihan kecil, tetapi ada lapan atau sembilan kekurangan lain,” katanya.
Meskipun United mencatat prestasi buruk musim lalu, kelab itu masih berjaya mendapatkan penyerang Matheus Cunha dari Wolves, dan sedang dalam rundingan untuk mendapatkan pemain Brentford, Bryan Mbeumo.
Shearer juga menekankan bahawa pramusim United yang akan menyaksikan jelajah ke Amerika Utara bersama Everton, Bournemouth dan West Ham bakal menjadi tempoh penting bagi Amorim menyesuaikan diri dengan kelab.