Dua gol benam harapan awal Malaysian Tigress

Dua gol benam harapan awal Malaysian Tigress


Antara aksi menarik Malaysia menentang Poland di Stadium Hoki Warsaw. Foto: FIH

SKUAD hoki wanita negara, Malaysian Tigress, memulakan kempen Kejohanan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Wanita 2 dengan langkah kiri apabila tunduk 0-2 kepada tuan rumah, Poland, dalam aksi pertama Kumpulan A di Stadium Hoki Warsaw.

Walaupun kedua-dua pasukan mempamerkan permainan seimbang sepanjang tiga suku pertama perlawanan, benteng pertahanan negara akhirnya diceroboh pada suku keempat menerusi dua jaringan pantas penyerang lincah Poland, Sandra Tartaczuk.

Sementara itu, pengendali Malaysian Tigress, Mohd Nasihin Nubli, mengakui anak buahnya berjaya mencipta beberapa peluang keemasan terutamanya dalam dua suku pertama, namun ketangkasan penjaga gol Poland menggagalkan usaha Malaysian Tigress untuk membuka jaringan.

Kumpulan A

Kumpulan A

“Kita mempunyai peluang yang baik pada awal permainan, tetapi tidak dapat memanfaatkannya.

“Kelekaan di saat-saat akhir membuka ruang buat Poland untuk mencipta dua gol pantas,” jelas beliau menerusi satu rakaman video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Tambahnya lagi, pemain diharap dapat segera bangkit memperbaiki kelemahan dan kembali lebih bertenaga menjelang perlawanan kedua menentang Afrika Selatan pada Selasa.

Malaysia kini perlu meraih keputusan positif dalam baki dua perlawanan kumpulan bagi menghidupkan peluang mara ke separuh akhir kejohanan yang juga medan kelayakan ke FIH Pro League musim depan.



Source link

OR

Scroll to Top