Ekor Boca Juniors pukau Stadium Hard Rock

Ekor Boca Juniors pukau Stadium Hard Rock


BOCA Juniors berjaya ‘menawan’ Stadium Hard Rock dengan hanya dua perlawanan apabila mengubahnya menjadi ‘Bombonera’ kedua kelab Argentina tersebut.

Kehadiran ekor Azul y Oro ini membawa semangat yang tiada tandingan dalam kempen Piala Dunia Kelab FIFA, meninggalkan penyokong pasukan lawan, penganalisis sukan, malah jurulatih Bayern Munich, Vincent Kompany, terpegun dan kagum.

Penyokong-penyokong Boca membanjiri sebahagian besar daripada 55,574 penonton ketika perlawanan pasukan mereka menentang Benfica, dan menjadi majoriti besar daripada 63,587 penyokong semasa tewas 1-2 kepada Bayern Munich.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum itu telah menerima kritikan hebat kerana didakwa kurang minat terhadap penganjuran temasya 32 kelab di Amerika Syarikat ini.

Walaupun beberapa perlawanan dimainkan di stadium yang separuh kosong, kehadiran penyokong-penyokong dari Amerika Selatan ternyata memainkan peranan penting menghidupkan suasana Piala Dunia Kelab.

Pengendali Boca Juniors, Miguel Angel Russo menyifatkan pemain ke-12 biru emas itu sebagai luar biasa baik saingan domestik dan antarabangsa.

“Ya, penyokong kami luar biasa tetapi tiada apa yang baharu mengenainya. Sudah tentu hati ini sakit untuk kalah, tetapi penyokong kami memang sungguh menakjubkan.

“Boca adalah tentang bekerja bersama pasukan dan penyokong. Itulah identiti kami.

“Bola sepak Argentina itu istimewa. Ia sejarah yang unik. Orang di sini penuh bersemangat, sangat berintensiti. Penyokong kami telah menyokong pasukan ini dalam segala hal, dan kami harus bersedia menghadapi cabaran,” katanya.

Sementara itu, Kompany berkata: “Saya telah mengharungi kerjaya yang panjang dan mengalami banyak perkara.

“Ada masanya saya ingin menjadi pemain dan malam ini adalah antara satu daripadanya. Suasana penonton begitu ‘hostile’ dengan cara yang terbaik, dan perlawanan itu penuh dengan agresif dalam erti kata yang baik. Itulah yang saya suka tentang bola sepak.

“Kami bermain menentang kelab besar dengan pangkalan penyokong-penyokong yang sanggup membayar untuk menonton pasukan mereka.”

INFO:

60,626 – Purata kehadiran penonton di Stadium Hard Rock, Miami, dalam empat perlawanan Piala Dunia Kelab.

63,587 – Kehadiran tertinggi direkodkan semasa aksi Boca Juniors menentang Bayern Munich.



Source link

OR

Scroll to Top