Iran berisiko digantung daripada Piala Dunia 2026

Iran berisiko digantung daripada Piala Dunia 2026


Hasrat pasukan kebangsaan Iran untuk beraksi di Piala Dunia FIFA 2026 kini berada dalam keadaan tidak menentu apabila ketegangan ketenteraan antara negara itu dan negara tuan rumah, Amerika Syarikat (AS) semakin memuncak.

Pasukan Iran menjadi pasukan keenam yang layak ke kejohanan tersebut pada Mac lalu yang dijadual berlangsung di AS, Mexico dan Kanada.

Namun, serangan udara terbaharu ke atas fasiliti nuklear Iran telah memburukkan lagi keadaan geopolitik serantau sekali gus mencetuskan kebimbangan kemungkinan Iran disekat daripada menyertai kejohanan itu.

Jika konflik terus memuncak, peluang Iran untuk beraksi di bumi AS kelihatan semakin tipis dan kemunculan keempat berturut-turut mereka di pentas Piala Dunia kini berada dalam bahaya.

Pakar berpendapat penggantungan Iran adalah satu kemungkinan yang realistik memandangkan beberapa negara sebelum ini pernah dilarang daripada kejohanan antarabangsa atas dasar keselamatan dan konflik bersenjata.

Rusia telah digantung tanpa tempoh tertentu oleh FIFA sejak pencerobohan ke atas Ukraine, manakala Yugoslavia juga pernah digantung semasa konflik di Balkan pada era 1990-an.

Walaupun Iran dibenarkan bertanding, penyokong mereka dijangka tidak akan dapat hadir ke AS kerana sekatan perjalanan yang dikenakan oleh Presiden, Donald Trump sejak Mac lalu.

Senarai larangan itu melibatkan lebih 40 negara termasuk Iran, Afghanistan, Libya, Myanmar, Somalia, Sudan, Yaman dan lain-lain.

Kelonggaran mungkin hanya diberikan kepada pemain dan pegawai pasukan sahaja.

Tiada sekatan yang dikenakan oleh Mexico dan Kanada yang turut menjadi tuan rumah bersama untuk baki 26 perlawanan kejohanan itu.

Menurut sumber, pilihan terbaik bagi Iran ialah jika mereka diundi dalam Kumpulan A dan semua perlawanan peringkat kumpulan berlangsung di Mexico.

Namun, sekiranya Iran mara ke pusingan kalah mati, mereka dijangka perlu bermain sekurang-kurangnya satu perlawanan di AS yang boleh menyukarkan urusan logistik penganjur.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino atau Presiden AS, Donald Trump berhubung penyertaan Iran dalam Piala Dunia 2026.



Source link

OR

Scroll to Top