Skuad B-23 jadikan Harimau Malaya sebagai pembakar semangat

Skuad B-23 jadikan Harimau Malaya sebagai pembakar semangat


Nafuzi (kiri) mahu pemainnya menjadikan kemenangan Harimau Malaya ketika menentang Vietnam sebagai tonik berdepan Kejohanan Piala ASEAN B-23 di Jakarta. Foto Malaysian NT

SKUAD bawah 23 tahun (B-23) negara menjadikan kejayaan Harimau Malaya menewaskan Vietnam baru-baru ini sebagai pembakar semangat menjelang saingan Kejohanan Piala ASEAN B-23 2025 yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia, dari 15 hingga 29 Julai ini.

Pengendali skuad B-23, Mohd Nafuzi Zain berkata, kemenangan skuad senior negara dalam aksi Kelayakan Piala Asia selepas lebih sedekad tanpa kemenangan ke atas Vietnam memberi suntikan motivasi yang besar kepada anak-anak buahnya.

“Bagi saya, kemenangan Harimau Malaya ke atas Vietnam adalah satu motivasi yang sangat baik untuk pasukan ini.

“Kita tahu sebelum ini sudah lebih 10 tahun kita tidak menewaskan Vietnam, jadi semangat dan pencapaian itu kita bawa ke skuad ini sebagai kekuatan tambahan,” katanya.

Menurut Nafuzi, selain semangat juang yang tinggi, aspek persiapan rapi turut menjadi keutamaan bagi memastikan Harimau Muda mampu memberikan cabaran terbaik dalam kejohanan edisi kali ini.

“Kalau kita dapat tunjukkan corak permainan yang baik, saya percaya kita mampu mencabar mana-mana pasukan.

“Apa yang lebih penting ialah persiapan pasukan dan tahap kesediaan pemain menjelang kejohanan, serta persembahan mereka di atas padang,” ujarnya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Filipina dan Brunei.

Skuad Harimau Muda dijadual membuka tirai kempen menentang Filipina pada 15 Julai, diikuti pertemuan dengan Brunei (18 Julai) dan aksi terakhir kumpulan menentang Indonesia (21 Julai).

Bagi edisi kali ini, Nafuzi meletakkan sasaran untuk mara ke peringkat separuh akhir.

 



Source link

OR

Scroll to Top