Pesta menjala pupuk kelestarian alam Raub

Pesta menjala pupuk kelestarian alam Raub


RAUB: Keriuhan Pesta Menjala Sungai Dong 2025 semalam bukan sekadar pertandingan tetapi satu isyarat jelas komitmen Kerajaan Negeri Pahang untuk membersihkan sungai dan menyemai kesedaran alam dalam masyarakat.

Pengerusi Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan NGO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, berkata acara sulung ini mengembalikan nostalgia penduduk.

“Pesta ini mengimbau peranan Sungai Dong sebagai nadi kehidupan dahulu.”

“Ia Kempen Mencintai Sungai Kita. Bila menjala, kita tersedar banyak ikan, air sejuk, sungainya indah! Ini menyegarkan memori mereka.”

Beliau ditemui selepas pesta menjala sepanjang tiga kilometer, dari Sungai Kerak ke Jambatan Sungai Dong

“Jika khazanah sungai tidak dipelihara, ia hanya akan tinggal kenangan,” tegasnya, menyeru kesedaran bersama.

50,000 benih ikan dilepaskan

Fadzli Mohamad Kamal (tengah), tidak melepaskan peluang untuk turun ke sungai dan menyertai sendiri Pesta Menjala Sungai Dong 2025. – FOTO Pahang Media

 Dalam usaha melestarikan ekosistem, 50,000 benih ikan termasuk kelah, sebarau, lampam dan baung dilepaskan ke Sungai Dong oleh Jabatan Perikanan.

“Saya hargai usaha ini. Kita perlu pantau dan cegah aktiviti yang boleh memusnahkan ikan-ikan ini seperti bom dan renjatan elektrik,” katanya.

“Masyarakat perlu prihatin. Laporkan terus kepada polis dan saya jika ada aktiviti merosakkan. Hidupan sungai tidak kekal jika tidak dijaga,” tambah Fadzli.

Pesta menjala akan dijadikan acara tahunan, dengan lokasi berbeza mengikut kesesuaian Sungai Dong yang panjang.

Ini menandakan komitmen jangka panjang Kerajaan Negeri Pahang untuk memastikan sungai-sungai di negeri ini terus bersih, lestari dan menjadi sumber kehidupan serta warisan berharga buat generasi mendatang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top