MEMILIH untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh.
Apatah lagi dengan landskap pendidikan tinggi yang semakin kompetitif, pemilihan institusi pengajian terbaik kini dilihat semakin mencabar.
Bakal membuka pengambilan pelajar baharunya bagi sesi Julai 2025, Multimedia University (MMU) tampil sebagai antara institusi pilihan paling unggul bagi mereka yang ingin meneroka potensi diri dalam bidang akademik dan profesional, selari dengan tuntutan era digital.
Lebih 50 program ditawarkan
Sebagai sebuah universiti yang terkenal melalui pendekatan digital dan mempunyai hubungan kukuh dengan industri, MMU menawarkan peluang pembelajaran menyeluruh serta berorientasikan masa depan.
Sejak ditubuhkan pada 1997, MMU berjaya melahirkan lebih 77,000 graduan yang kini menyumbang dalam pelbagai sektor termasuk teknologi, perniagaan, perundangan dan industri kreatif.
Alumni terkenal seperti pengarah Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin dan pengasas bersama Veedu Production, Dr Vimala Perumal, membuktikan bahawa pendidikan di MMU bukan sahaja mencipta tenaga profesional, malah pemimpin industri yang berwibawa.
Hari ini, MMU tampil dengan lebih 50 program akademik yang merangkumi bidang strategik seperti Kejuruteraan, Teknologi Maklumat, Multimedia Kreatif, Perniagaan dan Perakaunan, Undang-undang serta Komunikasi Strategik.
Kesemua program ini direka khusus bagi memenuhi keperluan industri dan memberi pendedahan sebenar kepada dunia pekerjaan.
Lebih daripada sekadar memenuhi syarat akademik, pengajian di MMU membentuk graduan yang bersedia daripada segi pengetahuan teknikal, kemahiran insaniah dan menjamin kebolehpasaran graduan.
Bermula daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahupun pascasiswazah, MMU menawarkan pelbagai pilihan laluan akademik yang fleksibel dan menyeluruh.
Pendidikan berasaskan industri
Sebagai institusi yang sentiasa menitikberatkan pembangunan pelajar daripada segi akademik, sahsiah dan profesional, MMU menerapkan kaedah pembelajaran berasaskan industri yang terbukti berkesan.
Inilah yang menjadikan MMU berbeza dengan kebanyakan institusi pengajian tinggi lain.
Dengan pelbagai kolaborasi bersama syarikat seperti Telekom Malaysia, Astro, ZTE, Huawei dan Microsoft, pelajar MMU mendapat akses kepada pengalaman dunia sebenar melalui latihan industri, makmal kolaboratif dan projek penyelidikan bersama.
Malah, laporan MDEC juga meletakkan MMU sebagai salah satu daripada dua universiti teratas yang aktif membekalkan bakat digital negara.
Sementara itu, MMU juga terus diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Ini dibuktikan apabila universiti ini tersenarai dalam QS World University Rankings 2025 dan Times Higher Education (THE) World University Rankings 2025 selain menerima pelbagai anugerah termasuk Premier Digital Tech University daripada Kementerian Pendidikan Tinggi dan Platinum Award dalam Putra Brand Awards 2023.
Kejayaan ini mencerminkan komitmen MMU terhadap kecemerlangan akademik, inovasi penyelidikan dan hubungan erat dengan industri.
Menilai daripada segi kebolehpasaran graduan pula, statistik menunjukkan bahawa 98 peratus graduan MMU berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
Ia sekali gus menjadikan universiti ini antara yang paling diyakini oleh majikan dari dalam dan luar negara.
Ambilan Julai kini dibuka
Dengan pengambilan pelajar baharu bagi sesi Julai 2025, MMU menjemput orang ramai untuk menjadi sebahagian daripada komuniti dinamik yang beraspirasi tinggi.
Di MMU, setiap pelajar bukan sekadar penimba ilmu, tetapi juga penggerak kepada perubahan yang mampu menyumbang dalam kemajuan dunia digital negara yang kian mencabar.
Untuk maklumat lanjut mengenai sesi pengambilan Julai 2025, layari laman sesawang www.mmu.edu.my/intake.
© New Straits Times Press (M) Bhd