PETALING JAYA: Polis menyerbu stor dan premis aktiviti penyeludupan, pengedaran rokok serta minuman keras disyaki tidak berkastam dengan menahan lima lelaki membabitkan nilai rampasan lebih RM4 juta semalam.
Penahanan kesemua suspek terdiri empat lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing dilakukan secara serentak di dua lokasi berasingan menerusi Op Taring 1 dan Op Taring dua dijalankan di sekitar Kuching, Sarawak semalam.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan dijakankan KDNKA melalui risikan utama, Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak.
Menurut beliau, kesemua ditahan 19 hingga 30 tahun.
“Barangan yang dirampas oleh pasukan serbuan merangkumi sebuah lori Toyota Dutro bersama anak kunci, sebuah lori jen Isuzu bersama anak kunci dan sebuah lori Hino bersama anak kunci.
“Turut dirampas adalah 31,740 liter minuman keras pelbagai jenis disyaki tidak berkastam, 280,000 batang rokok putih pelbagai jenis disyaki tidak berkastam dan 6,000 batang rokok kretek disyaki tidak berkastam,” katanya di sini hari ini.
Azmi berkata, aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penjualan rokok dan minuman keras tidak berkastam adalah salah satu ancaman terbesar terhadap ekonomi dan sumber pendapatan negara.
“Selain itu, kegiatan ini juga sekiranya tidak dibanteras mampu mengancam keselamatan sempadan negara.
“Siasatan dilaksanakan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua duanya sekali,” jelasnya. – UTUSAN