Bomba guna helikopter padam kebakaran hutan di Mukah

Bomba guna helikopter padam kebakaran hutan di Mukah


mdroji@bh.com.my

Kuching: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menggerakkan pesawat bagi memperhebatkan operasi memadam kebakaran hutan di Mukah yang berlarutan untuk hari keenam, hari ini.

Timbalan Pengarah JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, helikopter Mi-17 itu diterbangkan dari pangkalan Unit Udara JBPM di Miri dan mendarat di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mukah sebelum memulakan operasi, petang ini.

“Sebaik menyiapkan ‘bucket’ helikopter akan terus digerakkan melaksanakan operasi hari ini.

“Sebelum itu, kru helikopter sempat membuat tinjauan ketika tiba di Mukah tadi bagi membolehkan mereka merancang tindakan operasi,” katanya.

Kebakaran hutan yang berlaku berdekatan kampus UiTM Mukah sejak Khamis lalu menjejaskan kualiti udara di kawasan Mukah.

Sebelum kehadiran helikopter, operasi pemadaman kebakaran di kawasan tanah gambut seluas kira-kira 4.8 hektar menggunakan sumber air terbuka dan turut dibantu pekerja ladang dan penduduk kampung.

Selain Mukah, beberapa kebakaran terbuka berskala besar berlaku di Sarawak iaitu di ladang nanas di Marudi yang memasuki hari kelima membabitkan kawasan seluas 80 hektar.

Dua lagi kebakaran membabitkan tapak pelupusan sampah iaitu di Kampung Plaie, Samarahan berkeluasan kira-kira empat hektar dan tapak pelupusan sampah seluas kira-kira dua hektar di Kampung Jerijih, Tanjung Manis dalam Bahagian Mukah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top