Paris: Badan induk ekuestrian (FEI) yang mengendalikan acara berkenaan di Sukan Olimpik Paris 2024 di Versailles menemui gambar-gambar kuda dengan lidah biru akibat kekurangan oksigen semasa pertandingan dressage, kata ketua doktor veterinar organisasi itu kepada Reuters.
Isu kebajikan kuda mendapat perhatian serius di Olimpik apabila sukan ini berhadapan dengan kesan daripada insiden yang membabitkan penunggang bintang Britain, Charlotte Dujardin sekali gus menghidupkan semula perdebatan etika dan kebimbangan masa depan ekuestrian di temasya berkenaan.
Dujardin, pemenang enam pingat Olimpik, digantung sementara pada 27 Julai selepas rakaman menunjukkan dia memukul kaki kuda beberapa kali semasa latihan.
FEI menyemak gambar-gambar dari acara dressage Paris 2024 yang diambil oleh salah seorang jurugambar mereka.
Menurut doktor veterinar FEI, Goran Akerstrom, sambil menambah bahawa beberapa gambar yang diambil semasa Grand Prix dressage Selasa lalu menunjukkan adegan yang membahayakan haiwan.
“Kebimbangan mengenai gambar-gambar itu adalah lidah biru, yang mungkin disebabkan oleh ketegangan tali yang diikat,” kata Akerstrom, menambah bahawa ikatan berganda yang diwajibkan dalam pertandingan dressage peringkat tinggi juga memainkan peranan dalam mengurangkan aliran oksigen ke lidah, menyebabkan ‘kesakitan atau ketidakselesaan.’
Kumpulan kempen hak asasi haiwan seperti Peta mengkritik penunggang dressage kerana menggunakan ikatan berganda.
FEI tidak mengambil sebarang tindakan disiplin dan penemuan ini tidak akan mempengaruhi keputusan dressage.
Doktor veterinar badan induk itu memberitahu juri pertandingan yang kemudiannya memanggil penunggang yang terbabit untuk ‘perbincangan’ mengenai isu berkenaan.
Terkejut dengan insiden Dujardin, FEI yang berpusat di Switzerland berikrar akan bersikap tegas dalam memastikan kebajikan haiwan di Versailles.
Semakan gambar kali ini termasuk lapisan pemeriksaan khas yang berkaitan dengan kebajikan kuda.
Pegawai FEI sebelum ini menghukum seorang penunggang Brazil kerana hyperfleksi leher yang kontroversi dan menyingkirkan beberapa kuda dengan pendarahan ringan semasa Paris 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd






