Harapan SRG.OG lebur, TLPH rampas kejuaraan

Harapan SRG.OG lebur, TLPH rampas kejuaraan


SHAH ALAM – Hasrat pasukan Selangor Red Giants (SRG.OG) untuk mempertahankan kejuaraan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Piala Pertengahan Musim (MSC 2025) tidak kesampaian apabila tewas 1-4 kepada wakil Filipina, Team Liquid PH (TLPH) dalam aksi final yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi pada malam Sabtu.

Namun begitu, semangat juang SRG.OG tetap diraikan meriah di tanah air apabila lebih 2,000 peminat e-sukan berhimpun di Restoran Hakim, Seksyen 7, Shah Alam untuk menyaksikan tayangan skrin besar perlawanan tersebut dalam satu acara yang julung kali diadakan di Selangor.

Perlawanan akhir yang berlangsung dalam format Best of 7 menyaksikan SRG.OG membuka gelanggang dengan penuh bergaya apabila memenangi perlawanan pertama dalam masa 16 minit.

Barisan pemain tempatan seperti Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie), serta dua pemain import, Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm) dan John Vincent Banal (Innocent) mempamerkan aksi bertenaga di awal permainan.

Namun, TLPH bangkit mengubah strategi dan mendominasi empat perlawanan seterusnya, sekali gus merangkul gelaran juara sulung MSC dengan keputusan muktamad 4-1.

Kejayaan itu membolehkan pasukan Filipina tersebut membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$1 juta (kira-kira RM4.2 juta), manakala SRG.OG selaku naib juara meraih AS$500,000.

Di tempat ketiga, satu lagi wakil Filipina, ONIC PH menewaskan pasukan Indonesia, ONIC ID dengan keputusan 3-2. Wakil Malaysia kedua, Homebois, turut membawa pulang AS$66,000 selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-9 hingga ke-12.

Mohd Najwan (tengah) bersama Hakimsa (dua dari kanan) ketika menyaksikan perlawanan menerusi tayangan skrin besar di Restoran Hakim, Shah Alam.

Tayangan skrin besar di Shah Alam itu mendapat suntikan semangat apabila turut dihadiri Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi yang menyifatkan sambutan luar biasa tersebut sebagai bukti sokongan kukuh belia terhadap industri e-sukan.

Pemilik Restoran Hakim, Datuk Hakimsa Abdul Karim pula berkata, lebih 2,000 tempat duduk disediakan demi memastikan keselesaan pengunjung yang datang dari seluruh Lembah Klang bagi menyaksikan aksi final secara langsung.

“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif ini. Ia bukan sahaja mempereratkan komuniti, tetapi juga membuka ruang kepada belia untuk berhimpun dalam suasana sihat dan harmoni,” ujarnya.

Selain tayangan utama, acara tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk pemberian baucar makanan RM5 kepada 500 pengunjung pertama, cabutan bertuah 20 helai jersi rasmi SRG.OG serta khemah khas e-sukan yang menyediakan permainan PS5 dan Nintendo Switch secara percuma.

Program anjuran Pejabat Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor, Majlis Perwakilan Penduduk MBSA Zon 1 dan Restoran Hakim itu mendapat pujian ramai kerana berjaya menghimpunkan golongan muda dalam suasana positif dan terkawal.

Kejayaan penganjuran ini sekali gus membuktikan bahawa Selangor bersedia muncul sebagai hab e-sukan utama negara dan serantau, selari dengan aspirasi kerajaan negeri dalam memperkasa generasi digital masa kini.



Source link

OR

Scroll to Top