PEMAIN perseorangan lelaki negara, Justin Hoh meraih pengalaman berharga biarpun terlepas gelaran Terbuka Macau 2025 setelah tumpas di tangan wakil Indonesia, Alwi Farhan secara straight pada Ahad.
Justin mengakui perlu lebih tenang dan mempelbagaikan lagi corak permainan dalam usaha untuk meraih gelaran dalam siri Jelajah Dunia.
“Rasa sangat teruja sebab ini adalah penampilan pertama final Super 300.
“Perkara yang saya pelajari adalah perlu lebih bersabar. Saya juga perlu pertingkatkan lagi kemahiran serta strategi permainan,” katanya.
Alwi memperagakan aksi lebih berkualiti dan layak bergelar juara selepas menang straight set 21-15, 21-5 dalam tempoh 54 minit permainan.
Justin turut mendedahkan bahawa ada mengadakan perbincangan bersama Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen dan jurulatih K Yogendran selepas Terbuka Amerika Syarikat dan Terbuka Kanada lalu.
“Perbincangan berlangsung dalam suasana positif. Kami mencari satu arah yang betul untuk meningkatkan prestasi saya dalam permainan,” katanya.
Menerusi kejayaan mara ke pentas akhir itu menyaksikan Justin mendaki lapan anak tangga untuk menghuni tangga ke-37 dunia.
Beliau merupakan pemain perseorangan lelaki pertama Malaysia yang berjaya melayakkan diri ke pentas final saingan Jelajah Dunia musim ini.
Alwi selaku juara membawa pulang hadiah wang tunai AS$27,750 (RM118,688), manakala Justin menerima ganjaran AS$14,060 (RM60,135) selaku naib juara.