Kami seolah-olah lupa cara bermain- Amorim

Kami seolah-olah lupa cara bermain- Amorim


PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim percaya pasukannya perlu menunjukkan lebih kematangan selepas gagal mempertahankan kelebihan sehingga terikat 1-1 menentang Fulham pada Ahad sekali gus masih belum meraih kemenangan musim ini.

The Red Devils dihukum kerana gagal memanfaatkan penguasaan pada separuh masa pertama, termasuk sepakan penalti Bruno Fernandes yang tersasar.

Namun, Amorim lebih kecewa dengan aksi selepas United mendahului hasil jaringan sendiri Rodrigo Muniz pada minit ke-60.

Fulham bangkit menyamakan kedudukan menerusi Emile Smith Rowe, 17 minit sebelum tamat dan menutup perlawanan dengan lebih dominan.

“Saya rasa selepas kita menjaringkan gol, kami seolah-olah lupa bagaimana cara bermain.

“Kami terlalu mahu menang, itu sebenarnya sesuatu yang baik tetapi selepas gol itu semua hanya mahu bertahan dan kekalkan kelebihan. Bagi saya, itulah momen yang sepatutnya kita lebih nikmati dan terus tekan lawan.

“Kami perlu lebih matang sebagai sebuah pasukan. Yang penting sepanjang minggu pemain bekerja keras, hari ini pun mereka berusaha bersungguh-sungguh, dan saya yakin kami akan bertambah baik. Detik yang mengubah permainan adalah gol kami,” kata Amorim yang hanya menang tujuh daripada 29 perlawanan Liga Perdana sejak mengendalikan United.

Kapten United, Bruno Fernandes yang biasanya tenang menyempurnakan penalti turut dikritik Amorim selepas kegagalannya pada minit ke-38 menjejaskan prestasinya sepanjang baki perlawanan.

“Kesilapan itu perlu dilupakan dalam perlawanan, bukan dibawa sampai habis. Dia adalah ketua kami, banyak memikul tanggungjawab. Saya rasa selepas dia gagal penalti, fikirannya terganggu sehingga menjejaskan permainan. Kami perlu mara ke depan dan terus bermain,” ujar Amorim.

Dalam pada itu, kem Fulham pula berang dengan dua keputusan besar yang memihak kepada United.

Penalti pelawat hanya diberikan selepas semakan VAR ketika Calvin Bassey dan Mason Mount bergelut dalam kotak penalti.

Namun, ketika Bassey dilihat ditolak Leny Yoro dalam gerakan yang membawa kepada gol United, pengadil video tidak membuat sebarang campur tangan.

“Saya tidak dapat faham. Saya mahu jelaskan dari wisel pertama hingga terakhir, tetapi itu bukan tugas saya.

“Saya tidak mahu pergi ke arah itu. Semua orang di dunia nampak apa yang berlaku petang ini di Craven Cottage,” kata pengendali Fulham, Marco Silva.



Source link

OR

Scroll to Top