KUALA LUMPUR – Generasi muda perlu berani bersuara mengenai pelbagai isu nasional dan global seperti kemanusiaan, rasuah, jurang kemiskinan, persekitaran dan banyak lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masyarakat memerlukan generasi pelapis yang bersemangat dengan idea-idea yang seiring dengan perkembangan masa.
“Untuk populasi kita, ada wanita ada jurang kemiskinan, golongan terpinggir. Jadi anak muda mesti berani berdiri, bersuara tentang isu-isu yang menjadi perhatian, keutamaan kita,” katanya.
Biau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian program International Young Future Leaders Summit 2024 (FUTURE 2024) di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Program yang diadakan buat julung kali itu merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bermula Jumaat sehingga Ahad ini.
Ia merupakan, usaha kementerian berkenaan demi memastikan generasi pelapis pemimpin negara didedahkan dalam pelbagai isu nasional dan global.
Program tersebut melibatkan lebih 1,000 pemimpin mahasiswa tempatan dan antarabangsa daripada 46 buah negara.
Dalam masa yang sama program tersebut menyediakan wahana dan peluang kepada mahasiswa untuk penyerlahan bakat kepimpinan, meningkatkan kualiti keilmuan, mengukuhkan keterampilan dan kemahiran pengucapan awam.
Sehubungan itu, Anwar berharap supaya semua mahasiswa yang menyertai program tersebut menggunakan peluang dengan sebaiknya untuk bertukar-tukar pandangan berlandaskan prinsip masing-masing.
“Saya bangga semangat yang ditunjukkan, kita harus guna ruang ini sebaik mungkin, memanfaatkan waktu, ikat silaturahim, timba pengalaman dengan teman-teman dan pertahan cita-cita murni dan idealisme (masing-masing).
“Apalah erti hidup tanpa pegangan prinsip dan nilai, Apalah erti kekayaan dan ilmu kalau tidak dijadikan nilai yang baik sebagai paksi,” ujarnya.
Sebanyak tujuh sesi forum diadakan menerusi program yang berlangsung selama tiga hari melibatkan pelbagai topik berkaitan kepimpinan bagi membuka perspektif baharu dalam memahami dinamik dan peranan antara satu sama lain. – MalaysiaGazette