FAM nafi guna peruntukan diberi kerajaan sewenang-wenangnya

FAM nafi guna peruntukan diberi kerajaan sewenang-wenangnya


FAM menjelaskan menghantar laporan setiap perbelanjaan seperti mana yang telah diminta kerajaan tiga bulan sekali.

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan pihaknya telah mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP) dalam menguruskan peruntukan sebanyak RM15 juta yang diterima daripada kerajaan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, laporan perbelanjaan juga dihantar kepada pihak berkaitan seperti yang ditetapkan kerajaan.

“Untuk makluman, penyata perbelanjaan dihantar kepada Kementerian Kewangan setiap tiga bulan sekali.

“Pada masa sama, FAM menghantar penyata perbelanjaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) setiap bulan.

“KBS bertanggungjawab memantau perbelanjaan mengikut kelulusan yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal berita tempatan yang disiarkan baru-baru ini.

Pada 3 September tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi memperkasa pasukan bola sepak kebangsaan.

Peruntukan tersebut merupakan komitmen kerajaan untuk kebajikan, latihan dan pengurusan skuad Harimau Malaya.

Noor Azman turut menegaskan bahawa peruntukan berkenaan dibelanjakan sepenuhnya untuk pasukan Harimau Malaya dan dimasukkan dalam laporan perbelanjaan rasmi.

“Setiap sen daripada peruntukan kerajaan ini telah direkodkan dalam laporan perbelanjaan dan mengikut semua SOP kerajaan.

“Jadi, kita tidak sewenang-wenangnya menggunakan peruntukan itu kerana apa yang dibelanjakan adalah untuk pasukan kebangsaan, bukannya persatuan,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top