Pandelela belum terfikir untuk bersara

Pandelela belum terfikir untuk bersara


aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keringat dan tenaganya masih ingin dicurahkan buat negara kerana cintanya pada sukan terjun menyebabkan penerjun sensasi negara, Datuk Pandelela Rinong belum mahu memikirkan soal persaraan.

Pada usia 33 tahun, penerjun negara itu memilih untuk memberi sepenuh tumpuan kepada misi memburu pingat di Sukan Asia Aichi-Nagoya, Jepun yang dijadualkan dari 19 September hingga 4 Oktober ini.

Pandelela membuktikan dirinya masih menjadi penerjun wanita nombor satu negara apabila muncul juara acara 10 meter (m) platform pada hari terakhir Kejohanan Pemilihan Kebangsaan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, April lalu.

Pencapaian itu memberi suntikan keyakinan kepada Pandelela yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan, termasuk masalah trisep yang menjejaskan persiapannya pada Piala Dunia dan Kejohanan Dunia musim lalu.

Kini, tumpuannya jelas apabila dia mahu memastikan persiapan berjalan lancar sebelum berlepas ke China untuk menjalani kem latihan selama tiga minggu, sebelum terus ke Jepun bagi menghadapi Sukan Asia.

“Latihan macam biasa di Kuala Lumpur. Lepas itu bulan September kami akan ke China untuk kem latihan selama tiga minggu sebelum terus ke Jepun untuk Sukan Asia,” katanya.

Bagaimanapun, Pandelela tidak menolak kemungkinan Aichi-Nagoya menjadi penampilan terakhirnya di pentas Sukan Asia, namun enggan membuat sebarang keputusan mengenai masa depan terlalu awal.

“Mungkin, tetapi saya hanya fokus pada masa sekarang,” katanya.

Pengalaman luas di pentas tertinggi menjadi sandaran Pandelela apabila dia pernah memenangi gangsa 10m platform pada Olimpik London 2012 sebelum meraih perak acara 10m platform seirama bersama Cheong Jun Hoong di Rio 2016.

Di Sukan Asia pula, Pandelela memiliki lima pingat termasuk perak dan gangsa di Guangzhou 2010 serta gangsa pada edisi Incheon 2014 dan Hangzhou 2023.

Bagi menghadapi cabaran pada usia yang semakin meningkat, Pandelela berkata, dia kini lebih menitikberatkan penjagaan diri dengan memastikan keseimbangan antara latihan dan proses pemulihan.

“Saya sentiasa menjaga diri dengan lebih baik dan fokus kepada keseimbangan latihan serta pemulihan,” katanya.

Mengenai sasaran pingat di Aichi-Nagoya, Pandelela tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan sebaliknya mahu memberikan aksi terbaik kerana keputusan di podium dianggap sebagai bonus.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top