London: Ralf Schumacher menggesa Lewis Hamilton supaya menjadi lebih profesional bagi mengelak menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Ferrari.
Hamilton melalui musim pertama yang mengecewakan bersama Ferrari, dipenuhi dengan pelbagai kesilapan dilakukannya.
Juara dunia tujuh kali itu masih belum pernah menaiki podium musim ini.
Dia berisiko menjadi pemandu Ferrari pertama sejak Kimi Raikkonen pada 2014 yang menamatkan keseluruhan musim tanpa sebarang kedudukan tiga teratas dalam perlumbaan grand prix.
Dengan hanya berbaki lapan perlumbaan, Ferrari masih berharap untuk menewaskan Mercedes dan Red Bull bagi merebut tempat kedua dalam kejuaraan pengeluar tahun ini.
Daripada empat pasukan teratas, Ferrari satu-satunya pengeluar yang masih belum memenangi perlumbaan grand prix.
Schumacher percaya Hamilton perlu mengelak daripada melakukan kesilapan remeh supaya penyokong terus berada di pihaknya.
“Apa yang saya ingin katakan ialah Hamilton masih perlu berhati-hati, kerana prestasinya hujung minggu (Grand Prix Itali) lalu tidaklah teruk,” kata bekas pemandu F1 itu dalam podcast F1 Sky Germany.
“Litar perlumbaan minggu itu tidaklah begitu mencabar, tetapi kesilapan di Zandvoort dengan dua kali berpusing dan kemudian menerima penalti kerana bendera kuning sebelum permulaan P5, sejujurnya, dia perlu jadi lebih profesional.
“Dengan pengalaman yang ada padanya, perkara itu sepatutnya tidak berlaku dan dia perlu berhati-hati agar peminat terus menyokongnya, kerana perkara sebegini boleh mengundang rasa tidak puas hati.
“Namun begitu, bila segalanya berjalan lancar buat Lewis Hamilton, dia memang laju. Tapi, saya boleh katakan dua kali berpusing di Zandvoort, kemudian melanggar dinding dan ditambah pula dengan perkara lain, terlalu banyak kesilapan berlaku dalam satu hujung minggu di mana kita sebenarnya mengharapkan aksi lebih mantap daripada seorang pemandu berpengalaman,” katanya lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd