Faiq-Hong Quan mara final Siri Antarabangsa Petronas Malaysia 2025. – Foto: BAM
BEREGU badminton muda lelaki negara, Muhammad Faiq Masawi-Lok Hong Quan membuktikan status pilihan utama bukan apabila melangkah ke final Siri Antarabangsa Petronas Malaysia 2025 di Educity Sports Complex, Johor pada Sabtu
Pasangan berusia 19 tahun dari Selangor itu mudah menyingkirkan rakan senegara, Datu Anif Isaac Datu Asrah-Loh Ziheng dalam separuh akhir selepas menang straight set 21-12, 21-15 hanya dalam tempoh lebih setengah jam.
“Saya tidak sangka kemenangan menjadi milik kami kerana lawan jelas lebih berpengalaman,” kata Muhammad Faiq.
Sementara itu, Hong Quan berkata, mereka sentiasa mengingatkan diri untuk berjuang setiap mata dan tidak biarkan tekanan menguasai.
“Fikiran sebegitu membantu kami kekal tenang sehingga mata penamat.”
Bagi perebutan gelaran esok, Faiq-Hong Quan akan berdepan wakil Korea Selatan, Kim Jae-hyeon-Lee Sang-won yang menyingkirkan gandingan Indonesia, Dexter Farrell-Wahyu Agung Prasetyo 21-14, 21-18 dalam masa 28 minit.
Biarpun begitu nasib berbeza dialami Loh Ziheng apabila gagal menebus kekecewaan dalam acara beregu campuran bersama gandingannya, Noraqilah Maisarah Ramdan.
Pasangan pilihan keempat itu tunduk kepada wakil Korea Selatan, Kim Jae-hyeon-Jang Eun-seo 14-21, 12-21 di separuh akhir untuk memberi laluan kepada final sesama Korea.
Satu lagi wakil Korea Selatan, Noh Jin-seong-Ye Na-lee mencipta kejutan apabila menumbangkan pilihan kelima, Lee Sang-won-Kim Min-ji 19-21, 21-15, 21-19 untuk melengkapkan pentas final.