Kelantan TRW kekal tenang punca mampu raih kemenangan

Kelantan TRW kekal tenang punca mampu raih kemenangan


mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketenangan mengawal kubu menjadi kunci kejayaan pasukan Kelantan The Real Warriors (TRW) meraih kemenangan ketika beraksi menentang pendatang baharu Liga Super, DPMM FC, malam tadi.

Pengendali Kelantan TRW, E Elavarasan memuji barisan anak buahnya mampu menyekat serangan bertali arus lawan sekali gus memastikan tiga mata menjadi milik pasukan berpengkalan di negeri pantai timur itu.

“Bila kita 2-0 memang selesa sikit, tapi selepas Brunei jaringkan gol, kita lebih defensif untuk jaga kelebihan.

Nasib baik penalti mereka tidak masuk,” katanya yang turut menghormati keputusan pengadil menolak tuntutan penalti tambahan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).

Elavarasan menambah corak permainan lebih bertahan pada separuh masa kedua berlaku secara semula jadi kerana pemain mahu mempertahankan kelebihan sedia ada.

“Pasukan ini pun baru, jadi secara automatik pemain akan cuba pertahankan kelebihan. Itu normal,” katanya.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah malam tadi, DPMM FC terus buntu memburu kemenangan pertama apabila tewas 1-2 sekali gus menelan kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan liga dan kekal di tangga tercorot dengan hanya mengutip satu mata setakat ini.

Kelantan bermula garang apabila penyerang import, Ifedayo Olusegun membuka tirai jaringan pada minit ke-36 untuk meletakkan TRW di depan.

Hanya lima minit kemudian, skuad pelawat menggandakan kelebihan menerusi penyudah kemas Nor Azam Azih yang tenang menewaskan penjaga gol tuan rumah, memberikan Kelantan kelebihan selesa 2-0 sebelum rehat.

Tersentak dengan dua jaringan itu, DPMM memperkemas permainan sebaik babak kedua bermula dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-52 apabila Jordan de Paula Rodrigues merapatkan kedudukan 1-2.

Namun, kebangkitan tuan rumah terhenti di situ selepas pertahanan TRW berjaya bertahan kemas untuk mengekalkan kelebihan sehingga tamat perlawanan.

Mengulas keputusan pengadil, Elavarasan menegaskan ia perlu diterima kerana dibantu semakan VAR.

“Keputusan itu di tangan pengadil. Dia ada VAR, mungkin dah tengok. Kita kena terima sahaja,” katanya.

Kelantan kini mengumpul kemenangan kedua dalam saingan liga musim ini dan akan berdepan cabaran Terengganu FC (TFC) dalam aksi panas ‘Derbi Pantai Timur’.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top