Robot humanoid ‘tewaskan’ rekod Usain Bolt


BEIJING: Robot humanoid buatan pengeluar telefon pintar China, Honor, ‘menewaskan’ legenda pelari pecut dunia, Usain Bolt, selepas mencatat masa 9.32 saat dalam larian 100 meter.

Robot dikenali sebagai Lightning itu mencapai kelajuan maksimum 14.5 meter sesaat semasa acara ujian sebagai persediaan menghadapi Sukan Robot Humanoid Dunia kedua yang bermula di Beijing kelmarin.

Catatan itu mengatasi rekod dunia 100 meter lelaki 9.58 saat yang dilakukan Bolt pada Kejohanan Olahraga Dunia di Berlin pada 2009.

China kini giat membangunkan robot humanoid sebagai industri strategik, dengan pembuat dasar dan syarikat tempatan melihat kemajuan kecerdasan buatan (AI) serta teknologi perkakasan akan mempercepat penggunaannya dalam pembuatan, logistik serta aplikasi pengguna.

Lightning sebelum ini turut mencuri perhatian selepas memenangi separuh maraton Beijing sejauh 21 kilometer pada April dengan catatan masa 50 minit 26 saat, mengatasi rentak rekod dunia manusia lelaki elit.

Robot setinggi 169 sentimeter itu mempunyai kaki sepanjang 95 sentimeter ketika menyertai perlumbaan berkenaan.

Penyelidik kemudian memanjangkan kakinya 10 sentimeter kepada 1.05 meter bagi meningkatkan prestasinya menjelang Sukan Robot Humanoid Dunia, lapor China Central Television (CCTV).- AGENSI

 



Source link

OR

Scroll to Top