GRIP perkukuh perpaduan, bina jati diri generasi muda


KOTA KINABALU: Kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya menjadi antara kekuatan utama Malaysia yang perlu terus dipelihara menerusi kefahaman, rasa hormat dan semangat kebersamaan, terutama dalam kalangan generasi muda.

Seiring usaha itu, Kementerian Perpaduan Negara memperkenalkan Program Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP) yang memberi penekanan kepada pengalaman silang budaya sebagai pendekatan untuk memperkukuh perpaduan dan membina jati diri generasi muda.

Pendekatan berasaskan pengalaman itu penting dalam membentuk generasi muda yang membesar dalam persekitaran digital yang pantas, sekali gus mempengaruhi cara mereka berkomunikasi, mendapatkan maklumat dan berinteraksi dengan masyarakat.

Dalam konteks itu, Perlembagaan Persekutuan menjadi kerangka utama negara, manakala Rukun Negara menjadi asas nilai yang diterapkan menerusi GRIP.

Justeru, penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian melalui sikap saling menghormati, bertanggungjawab serta menghargai kepelbagaian.

Silang budaya perkukuh kefahaman

Menerusi GRIP, usaha memperkukuh perpaduan dilaksanakan melalui modul silang budaya yang merangkumi tiga kluster utama iaitu Kenegaraan, Budaya dan Adat Resam serta Nilai Murni, Sivik dan Moral.

Program itu memberi ruang kepada peserta memahami Rukun Negara, sejarah pembentukan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan serta tanggungjawab sebagai warganegara.

Pada masa sama, mereka didedahkan kepada kepelbagaian budaya menerusi aktiviti seni, makanan, permainan tradisional dan program silang budaya yang menggalakkan interaksi antara peserta pelbagai latar belakang.

Pengalaman secara langsung itu membantu peserta memahami perbezaan dengan lebih terbuka, selain membina nilai hormat, empati dan komunikasi berhemah dalam kehidupan seharian.

Pendekatan berkenaan juga mengubah penghayatan Rukun Negara daripada sekadar mengingati prinsip kepada memahami nilai di sebaliknya.

Daripada hanya mengenali konsep toleransi, peserta digalakkan membina kepercayaan dan rasa saling memiliki sebagai rakyat Malaysia.

Melalui interaksi bersama rakan daripada latar budaya berbeza, generasi muda berpeluang melihat kepelbagaian bukan sebagai jurang pemisah, sebaliknya kekuatan yang menyatukan rakyat serta membentuk identiti negara.

GRIP diperluas mulai 2027

Pada 2026, GRIP dilaksanakan membabitkan murid sekolah rendah dan menengah di enam negeri iaitu Sabah, Kedah, Johor, Terengganu, Selangor dan Sarawak.

Usaha itu akan diperluaskan mulai 2027 menerusi GRIP @ Prasekolah, GRIP @ Murid dan GRIP @ Komuniti, termasuk membabitkan pemimpin masyarakat pelbagai etnik dan agama.

Perluasan itu membolehkan usaha memupuk perpaduan dimulakan sejak peringkat awal pendidikan dan diteruskan dalam lingkungan komuniti.

Langkah itu turut memberi ruang lebih luas kepada masyarakat untuk membina hubungan melalui interaksi dan pengalaman bersama, sekali gus menjadikan nilai perpaduan lebih dekat dengan kehidupan harian.

Usaha membina negara bangsa tidak seharusnya bergantung kepada penguasaan pengetahuan semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh melalui pengalaman, interaksi dan kefahaman terhadap kepelbagaian yang menjadi identiti Malaysia.

Walaupun berbeza latar belakang, rakyat Malaysia berkongsi Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, tanah air dan masa depan yang sama.

Nilai kebersamaan inilah yang terus diperkukuh menerusi GRIP, sebagai usaha membentuk generasi yang bukan sahaja memahami kepelbagaian, malah mampu menghargai perbezaan dan menjadikannya kekuatan bersama.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top