Keputusan ROS: UMNO Perak tunggu keputusan Speaker Dewan Rakyat

Keputusan ROS: UMNO Perak tunggu keputusan Speaker Dewan Rakyat


IPOH – UMNO Perak sedia memasuki gelanggang sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) dilaksanakan rentetan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, keputusan ROS berkenaan berkemungkinan tidak memberi kesan kepada enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, ia ekoran sokongan yang dinyatakan enam Ahli Parlimen Bersatu kepada perdana menteri, disuarakan sebelum pindaan berkenaan diluluskan semalam dan dikuatkuasa bermula Isnin.

“Pertama saya tidak pasti sama ada pindaan itu memberi kesan atau tidak kepada enam orang yang terlibat kerana pindaan itu tidak ‘backdated’ dia bukan dikuatkuasakan sebelum (sokongan dinyatakan).

“Ia (kelulusan pindaan) berkuatkuasa sekarang dan akan datang dan saya tidak pasti sama ada ia memberi kesan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya 2024 Kerajaan Negeri Perak kepada Pasukan Beruniform di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Rentetan itu, Saarani berkata, UMNO Perak menunggu keputusan yang akan dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat berhubung kelulusan ROS tersebut sama ada kesemua Ahli Parlimen berkenaan terkesan dengan Akta Anti Lompat Parti atau tidak.

“Jika Speaker Dewan Rakyat membuat keputusan mereka terkesan kepada Akta Anti Lompat Parti bermakna mereka (enam wakil rakyat Bersatu) gugurlah.

“Bila gugur maknanya adalah enam PRK yang perlu dibuat termasuklah dua di Perak dan macam biasa UMNO bila ada PRK kita kena bersiap sedialah untuk memasuki gelanggang.

“Tetapi jika tiada PRK ia bukanlah masalah kepada UMNI Perak kerana kita sentiasa membuat persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16,” katanya.

Semalam media melaporkan ROS meluluskan usul pindaan Perlembagaan Bersatu yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) parti itu, 2 Mac lalu.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata ROS sudah meluluskan pindaan terbabit yang membolehkan parti itu mengambil langkah seterusnya untuk mengosongkan enam kerusi Parlimen, sekali gus diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK). – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top