PELARI Iceland, Kristjan Chapman menjuarai kategori utama larian denai Malaysia Ultra-Trail by Mont-Blanc (UTMB) 2025 di Taiping, Perak yang menarik penyertaan hampir 3,000 peserta dari 64 negara.
Edisi kedua UTMB World Series di Malaysia itu menyaksikan Chapman, 34, menamatkan saingan 96.7 kilometer (km) bagi kategori MY100 lelaki dengan catatan 11 jam 39 minit 29 saat, sekali gus menewaskan pencabar terdekat dari China, Bai Xing Zhi (11:51:52) dan pelari Jepun, Kanta Mizutani (12:14:56).
Chapman menyifatkan kemenangannya hadir dalam suasana penuh dramatik selepas pesaingnya, Bai terpaksa berhenti untuk mengikat tali kasut di pendakian terakhir menuju puncak Maxwell Hill.
“Saingan kali ini benar-benar mencabar dan kompetitif. Ada masa saya di depan, kemudian dia pula mendahului. Pada penghujung perlumbaan, kami berdua mengalami kekejangan otot. Namun apabila dia berhenti mengikat tali kasut, ia jadi peluang terbaik untuk saya teruskan,” katanya.
Laluan MY100 sememangnya menguji ketahanan mental dan fizikal pelari dengan peningkatan ketinggian 4,890 meter, termasuk dua pendakian menyesakkan di Maxwell Hill yang terkenal dengan curam berliku.
Chapman turut mengakui perbezaan cuaca daripada -10 darjah Celsius di tanah kelahirannya kepada panas lembap tropika Taiping memberi ujian luar biasa.
“Perubahan daripada suhu sejuk melampau ke panas dan lembap memang mencabar. Saya sudah cuba menyesuaikan diri, tetapi kelembapan tetap memberi kesan. Itu antara dugaan terbesar saya,” katanya.
Dalam kategori wanita pula, Jiang Weng Li dari China muncul juara dengan catatan 14:38:44s, hanya seminggu selepas menjuarai perlumbaan ultra di Itali. Pelari Jepun, Ayaka Takimoto, meraih tempat kedua (15:27:10s) manakala Liu Wen Jing, juga dari China, menamatkan saingan di tempat ketiga (15:54:37s).
Weng Li, yang berasal dari Chongqing, mengakui tubuhnya masih belum pulih sepenuhnya daripada perlumbaan terdahulu, apatah lagi cuaca tropika Malaysia hampir membuatnya kecundang.
“Saya hampir alami strok haba di pendakian terakhir dan terpaksa berehat hampir setengah jam. Tetapi yang penting bagi saya adalah menamatkan perlumbaan dengan selamat,” katanya menerusi jurubahasa.
Beliau yang memulakan larian dengan rentak pantas akhirnya memperlahankan langkah selepas lapan jam kerana kehilangan tenaga dan masalah melecet, namun tetap berpuas hati dapat mengharungi dua perlumbaan 100km dalam tempoh seminggu.
“Saya sendiri tidak sangka mampu menamatkan dua perlumbaan ultra berturut-turut. Jika kembali tahun depan, saya akan membuat persiapan lebih rapi dan cuba catat masa lebih pantas,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Pelari Iceland, Kristjan Chapman menjuarai kategori utama larian denai Malaysia Ultra-Trail by Mont-Blanc (UTMB) 2025 di Taiping, Perak
- Chapman menamatkan saingan 96.7 kilometer dengan masa 11 jam 39 minit 29 saat, mengalahkan pelari dari China dan Jepun
- Kemenangannya dicapai selepas pesaing utama, Bai dari China, berhenti untuk mengikat tali kasut di pendakian terakhir
- Laluan MY100 mencabar dengan peningkatan ketinggian 4,890 meter dan termasuk dua pendakian sukar di Maxwell Hill
- Jiang Weng Li dari China menjuarai kategori wanita, mengalami kepayahan fizikal dan cuaca tapi berjaya selesaikan perlumbaan






