Individu terlibat pemalsuan dokumen boleh didakwa

Individu terlibat pemalsuan dokumen boleh didakwa


Laporan muka hadapan Sinar Harian pada Ahad berhubung kontroversi yang melanda FAM.

PIHAK dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang didakwa memalsukan dokumen tujuh pemain naturalisasi sehingga membawa kepada tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) boleh berdepan hukuman penjara, denda dan sebatan di bawah undang-undang Malaysia.

Pakar undang-undang berpengalaman termasuk dalam bidang jenayah, Zamri Ibrahim menegaskan pemalsuan dokumen dan penipuan bukan sekadar pelanggaran peraturan sukan sebaliknya kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

“Dari aspek undang-undang, pemalsuan dan penipuan adalah jenayah. Ia melibatkan seseorang memperoleh sesuatu melalui tipu daya,” kata Zamri yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Perlis kepada Sukan Sinar.

Beliau menjelaskan kesalahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda, selain Seksyen 468 berkaitan pemalsuan untuk tujuan penipuan yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara dan denda.

“Mereka yang terlibat mesti dipertanggungjawabkan kerana memalukan negara jika terbukti perbuatan ini berlaku,” tegasnya.

Zamri menambah, proses undang-undang hanya boleh berjalan selepas laporan polis dibuat kerana langkah itu mencetuskan elemen jenayah dan membolehkan siasatan dimulakan untuk mengenal pasti individu yang melakukan kesalahan sama ada seorang atau lebih.

Walaupun FIFA telah mengambil tindakan terhadap FAM dan tujuh pemain berkenaan Jon Irazabal, Rodrigo Holgado, Gabriel Palmero, Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces dan Joao Figueiredo, Zamri menegaskan proses undang-undang domestik masih boleh dilaksanakan jika pihak berkuasa memutuskan untuk menyiasat.

 

Ringkasan AI

  • Pihak dalam Persatuan Bolasepak Malaysia yang memalsukan dokumen pemain naturalisasi boleh berdepan hukuman penjara, denda dan sebatan
  • Pemalsuan dokumen dan penipuan adalah jenayah di bawah Kanun Keseksaan
  • Kesalahan pemalsuan boleh disiasat mengikut Seksyen 420 dan 468 Kanun Keseksaan
  • Proses undang-undang hanya boleh berjalan selepas laporan polis dibuat
  • Walaupun FIFA telah mengambil tindakan, proses undang-undang domestik masih boleh dilakukan



Source link

OR

Scroll to Top