RUBEN Amorim akhirnya mampu menarik nafas lega apabila Manchester United menampilkan aksi meyakinkan untuk menewaskan Sunderland 2-0 di Old Trafford pada Sabtu, kemenangan yang bukan sahaja menamatkan tekanan terhadap dirinya, malah membuktikan para pemain masih teguh menyokong pengendali mereka yang kini berdepan ujian getir.
Dalam suasana yang sebelum ini dipenuhi desakan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong, kemenangan itu menjadi isyarat jelas bahawa bilik persalinan United masih bersatu.
Amorim, yang hanya mencatat sembilan kemenangan daripada 33 perlawanan Liga Perdana Inggeris sejak mengambil alih pada November lalu, menerima sokongan padu daripada peminat apabila namanya dilaungkan sepanjang perlawanan.
Dua jaringan menerusi Mason Mount dan Benjamin Sesko sudah cukup untuk memastikan kemenangan selesa yang melonjakkan United ke tangga kelapan liga dengan 10 mata menyamai kedudukan seteru setempat, Manchester City, yang akan beraksi di Brentford pada Ahad.
“Saya lihat hari ini pemain betul-betul mahu berikan segalanya. Mereka tidak mahu jurulatih mereka ditukar.
“Saya sudah beritahu mereka minggu ini, saya sanggup berjuang habis-habisan dalam setiap transisi, tapi mereka mesti tunjukkan dengan tindakan di atas padang,” ujar Amorim.
Amorim turut mengakui masih ada ruang untuk memperbaiki permainan meskipun kemenangan tersebut memberi sedikit kelegaan buatnya.
“Kadang-kadang bila kita menonton semula perlawanan, kita tahu kita boleh buat lebih baik. Pemain pun tahu perkara itu. Cuma yang penting ialah bagaimana mereka tunjukkan peningkatan di padang,” jelasnya.
Pengendali kelahiran dari Portugal itu bagaimanapun menganggap tempoh rehat antarabangsa selepas kemenangan ini sedikit mengganggu rentak pasukan yang baru menemui semangat baharu.
“Masalahnya, tiada momentum. Setiap kali menang satu perlawanan, kita terpaksa tunggu dua minggu lagi.
“Kalau tak boleh main dengan baik, sekurang-kurangnya kita mesti halang lawan bermain dengan baik. Itu cara sebenar pasukan besar mengekalkan tahap sepanjang musim,” tegas Amorim.
LIGA PERDANA INGGERIS
KEPUTUSAN
Bournemouth 3-1 Fulham
Leeds United 1-2 Tottenham Hotspur
Manchester United 2-0 Sunderland
Arsenal 2-0 West Ham United
Chelsea 2-1 Liverpool
Ringkasan AI
- Ruben Amorim menarik nafas lega apabila Manchester United menewaskan Sunderland 2-0
- Kemenangan itu menunjukkan pemain-pemain masih menyokong pengendali mereka
- Amorim telah meraih sembilan kemenangan dari 33 perlawanan Liga Perdana Inggeris sejak November
- Kemenangan itu melonjakkan United ke tangga kelapan liga, menyamai mata dengan Manchester City
- Amorim mengakui ada ruang untuk memperbaiki permainan walaupun kemenangan memberi kelegaan