Malaysia mara suku akhir selepas ‘smash’ Australia

Malaysia mara suku akhir selepas ‘smash’ Australia


Aksi Boon Le ketika berdepan Dhand dalam perlawanan Kumpulan C di Guwahati pada Rabu. FOTO Badminton Association of Malaysia.

SKUAD badminton muda negara meneruskan rentak cemerlang apabila menundukkan Australia 2-0 untuk melangkah ke suku akhir selaku juara Kumpulan C pada Kejuaraan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2025 di Pusat Kecemerlangan Nasional, Guwahati, India pada Rabu.

Malaysia tidak berdepan banyak tentangan daripada lawan apabila mempamerkan penguasaan menyeluruh dalam kedua-dua set perlawanan yang menggunakan sistem pemarkahan baharu.

Dalam set pertama, beregu lelaki negara Loh Zi Heng–Tan Zhi Yang membuka tirai kemenangan dengan menundukkan gandingan Phillip Halim–Landon Kurniawan 9-5.

Kejayaan itu diteruskan oleh pemain perseorangan wanita Eng Ler Qi yang menewaskan Jesslyn Carrisia 18-11.

Beregu wanita Aina Hatta–Joinne Lee turut tidak mengecewakan apabila mencatat kemenangan 27-17 ke atas Mimi Ngo–Maureen Clarissa Wijaya, sebelum perseorangan lelaki Lim Boon Le menambah mata keempat menewaskan Shrey Dhand 36-24.

Malaysia melengkapkan kemenangan bersih dalam set pertama menerusi beregu campuran Loh Zi Heng–Aqilah Ramdan yang menundukkan Jayden Lim–Victoria Tjonadi 45-35.

Malaysia terus garang dalam set kedua apabila beregu lelaki Damien Ling–Shazmir Shahrul menewaskan Landon Kurniawan–Wey Shawn Ng 9-7, disusuli kemenangan mudah pemain perseorangan wanita Lim Zhi Shin 18-8 ke atas Jesslyn Carrisia.

Beregu wanita Low Zi Yu–Aqilah Ramdan meneruskan dominasi dengan kemenangan 27-9 ke atas Jesslyn Carrisia–Faye Huo, sebelum Ayu Fu Sheng menyumbang mata keempat selepas menumpaskan Shrey Dhand 36-10.

Malaysia menutup tirai aksi dengan kemenangan bergaya apabila gandingan Datu Anif Datu Asrah–Nicole Tan menewaskan Jayden Lim–Victoria Tjonadi 45-14.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara yang menang dua perlawanan awal ke atas Slovakia dan Kanada sekali lagi menutup saingan format baharu 45 mata secara relay menjinakkan Australia 45-35, 45-14 untuk muncul juara kumpulan tanpa kalah dan menempah slot ke suku akhir berdepan China pada aksi suku akhir esok.

Sementara itu, pengendali perseorangan skuad muda negara, Misbun Ramdan Misbun mengakui China merupakan pasukan yang berpengalaman dalam kejuaraan tersebut.

“China memiliki department yang stabil dalam kejuaraan ini, jadi saya harap pemain-pemain berikan persembahan 110 peratus dalam perlawanan nanti.

“Secara keseluruhan kemenangan dalam kempen peringkat kumpulan membina keyakinan dan momentum positif dalam kalangan pemain untuk fasa seterusnya,” katanya.

Ringkasan AI

  • SKUAD badminton muda negara menundukkan Australia 2-0 dan melangkah ke suku akhir selaku juara Kumpulan C di Kejuaraan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2025
  • Malaysia mempamerkan penguasaan menyeluruh dalam kedua-dua set perlawanan dengan sistem pemarkahan baharu
  • Beregu lelaki, wanita, dan campuran Malaysia masing-masing mencatat kemenangan dalam pertemuan tersebut
  • Malaysia menang dua perlawanan awal ke atas Slovakia dan Kanada sebelum mengalahkan Australia untuk muncul juara kumpulan
  • Pengendali perseorangan skuad muda negara, Misbun Ramdan Misbun, menyatakan keyakinan dan momentum positif pemain untuk menghadapi China di suku akhir



Source link

OR

Scroll to Top