Skuad tenis mampu tampil aksi lebih cemerlang di Thailand

Skuad tenis mampu tampil aksi lebih cemerlang di Thailand


sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan tenis negara yakin mampu menampilkan prestasi cemerlang pada Sukan SEA Thailand Disember ini selepas mendapat pendedahan dalam beberapa kejohanan sepanjang tahun ini.

Jurulatih tenis negara, Muliyadi Jamal berkata, dengan pendedahan diberikan itu, beliau percaya skuad dibawa kali ini mampu mencatat keputusan lebih baik berbanding edisi 2023 lalu.

Katanya, pemain utama negara seperti Mitsuki Leong dan Shihomi Leong serta beberapa pemain lain sudah menyertai siri kejohanan profesional termasuk kejohanan circuit, challenger dan futures di China serta Kazakhstan sejak beberapa bulan lalu dengan sebahagian daripadanya menunjukkan keputusan memberangsangkan.

“Sasaran utama skuad tenis negara di Thailand adalah memperbaiki pencapaian dua pingat gangsa yang diraih pada edisi lepas (2023) dan saya yakin pendedahan berterusan melalui perlawanan kompetitif akan menjadi kunci utama untuk mencapai matlamat ditetapkan.

“Tiga pemain yang kini menuntut di kolej di Amerika Syarikat dijangka menyertai kem latihan berpusat pada hujung November, diikuti sesi pembinaan pasukan (team building) pada awal Disember bagi memperkukuh semangat berpasukan dan motivasi menjelang temasya berprestij itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, berdasarkan prestasi semasa setiap pemain, beliau yakin pasukan lelaki mampu melangkah ke pentas akhir manakala skuad wanita pula berpeluang meraih pingat gangsa.

“Thailand bakal menjadi pencabar utama dalam acara lelaki kerana tiga pemain mereka berada pada kedudukan ranking lebih tinggi berbanding pemain utama Malaysia, Mitsuki Leong. Malah, Indonesia juga dilihat sebagai lawan yang sukar.

“Bagi acara wanita pula, bintang Filipina, Alex Eala, yang kini berada dalam kelompok 50 terbaik dunia, dilihat sebagai lawan paling sukar. Pemain Indonesia, Janice Jian serta dua pemain Thailand turut dijangka memberi saingan hebat untuk merebut pingat,” katanya yang kini memberi tumpuan kepada persiapan akhir termasuk mengekalkan tahap kecergasan fizikal serta mengelakkan kecederaan.

Untuk makluman, pasukan lelaki negara akan diwakili oleh Mitsuki Leong, Imran Daniel Abdul Hazli, Koay Hao Sheng, Darrshan Suresh Kumar dan Naufal Siddiq Kamaruzzaman, manakala skuad wanita dibarisi oleh Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman, Shihomi Leong, Daania Daniella Hazli, Lim Zan Ning dan Hannah Yip.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top