Penyeludup langgar bot penguat kuasa, elak ditahan

Penyeludup langgar bot penguat kuasa, elak ditahan


Alor Gajah: Cubaan tiga lelaki dipercayai warga Indonesia menyeludup pendatang asing tanpa izin dan dadah keluar dari perairan Malaysia gagal selepas bot gentian kaca yang dinaiki mereka karam di perairan Tanjung Bidara awal pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, bot yang dinaiki suspek telah melanggar bot ronda pasukan keselamatan sebelum hilang kawalan dan terbalik.

“Hasil risikan telah mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot dari Pulau Rupat, Indonesia yang dipercayai cuba memasuki perairan negara ini.

“Bot ronda APMM yang melaksanakan Op Murni berjaya mengesan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran pada jarak 2.3 batu nautika barat daya Tanjung Bidara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, dua daripada tiga suspek bertindak terjun ke laut, manakala seorang lagi berusia 37 tahun berjaya ditahan.

“Siasatan awal mendapati bot itu dipercayai menuju ke Pengkalan Balak bagi mengambil pendatang asing tanpa izin dan dadah untuk diseludup keluar dari negara ini.

“Suspek ditahan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran,” katanya dan menambah operasi CARILAMAT diaktifkan bagi mengesan dua lagi suspek.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top