IMPIAN Indonesia untuk mara ke Piala Dunia berkecai selepas tewas 0-1 kepada Iraq dalam aksi kelayakan di Jeddah, pada awal pagi Ahad.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain tengah Iraq, Zidane Iqbal pada separuh masa kedua sekali gus mengekalkan harapan pasukan itu untuk beraksi di Piala Dunia buat kali pertama sejak 1986 dan dalam masa sama menyingkirkan skuad Indonesia kendalian Patrick Kluivert.
Bekas pemain Manchester United yang kini beraksi bersama kelab Utrecht itu meledak jaringan kemenangan 14 minit sebelum tamat perlawanan selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.
Kemenangan tersebut menyaksikan Iraq bakal berdepan Arab Saudi pada Selasa dalam aksi penentuan tiket automatik ke Piala Dunia, manakala pasukan yang tewas akan melalui satu lagi pusingan kelayakan tambahan.
Indonesia tersingkir selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam saingan kelayakan.
“Kami tahu ia perlawanan yang sukar dengan keadaan cuaca dan sebagainya, tetapi kemenangan 1-0 ini memberikan kami keyakinan tinggi.
“Menentang Arab Saudi pasti sukar, namun kami akan berjuang untuk menang,” kata Iqbal.
Indonesia memulakan aksi dengan baik dan dilihat lebih berpeluang mendapatkan jaringan yang diperlukan.
Kevin Diks nyaris membuka jaringan menerusi tandukan awal, diikuti percubaan jarak jauh Thom Haye yang sedikit tersasar.
Mauro Zijlstra hampir meledak gol sulung antarabangsa namun dinafikan dengan terjahan terakhir Manaf Younis dalam kotak penalti.
Peluang terbaik Iraq pada babak pertama hadir menerusi tandukan Sherko Karim pada minit ke-29 yang tinggi melepasi palang.
Indonesia menguasai separuh masa pertama tetapi gagal menterjemahkan dominasi kepada jaringan.
Kesilapan pertahanan Rizky Ridho pada babak kedua akhirnya mengundang padah apabila bola yang hilang kawalan jatuh ke kaki Iqbal di luar kotak penalti, sebelum pemain berusia 21 tahun itu tenang menyudahkan sepakan ke penjuru bawah gawang.
Perlawanan bertukar tegang menjelang wisel penamat apabila penyokong Indonesia meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil dari China dengan membaling botol air ke padang.
Pemain Iraq, Zaid Tahseen pula dilayangkan kad kuning kedua pada masa kecederaan, namun Iraq tetap berjaya mempertahankan kelebihan walaupun beraksi dengan 10 pemain.
Kemenangan itu mengekalkan Iraq dalam persaingan untuk menyertai wakil Asia lain yang sudah mengesahkan tempat ke Piala Dunia iaitu Jepun, Korea Selatan, Australia, Iran, Uzbekistan dan Jordan.
Ringkasan AI
- Impian Indonesia ke Piala Dunia batal selepas kalah 0-1 dengan Iraq
- Gol oleh Zidane Iqbal mengekalkan harapan Iraq untuk Piala Dunia pertama kali sejak 1986
- Kemenangan ini menempatkan Iraq dalam aksi menentukan dengan Arab Saudi untuk tiket Piala Dunia
- Indonesia tersingkir setelah dua kekalahan beruntun dalam kelayakan
- Iraq kekal dalam persaingan bersama negara-negara Asia lain untuk Piala Dunia